
Tiada negara di dunia ini yang rakyatnya terlepas menjadi rasis. Walau terbuka dan maju macam mana sekalipun misalnya Kanada, sebuah negara yang disifatkan mesra imigran dan pendatang tidak terkecuali juga.Terbaru klip video wanita “kulit putih” dari Mississauga, Kanada tersebar apabila dia mendesak hanya mahu dirawat oleh doktor “kulit putih” di sebuah klinik.
Wanita itu dilihat membuat bising dan menyerang penyambut tetamu, manakala pesakit lain di klinik itu cuba menenangkannya.
Dalam rakaman yang diambil oleh pesakit, Hitesh Bharadwaj di Rapid Access to Medical Specialists Clinic menunjukkan wanita terbabit mendesak supaya anaknya yang sakit dada hanya dirawat oleh doktor “kulit putih”.
Dia mendakwa seorang doktor bukan penduduk asal Kanada bergigi perang tidak merawat anaknya dengan baik sebelum ini.
Pesakit lain di klinik tersebut menasihatinya supaya ke hospital tetapi dia enggan kerana dia tidak berduit.
Wanita itu semakin marah apabila diberitahu tiada doktor “kulit putih” dan dia menjerit, “Saya mahu doktor ‘kulit putih’. Kamu kata tiada seorang pun doktor ‘kulit putih’ di seluruh bangunan ini?”
Apabila pesakit dan kakitangan mendakwanya bersikap rasis, wanita itu berkata, “Menjadi ‘kulit putih’ di negara ini, saya patut tembak diri sendiri.”
Bhardwaj dalam temuramah dengan CBC mengakui dia terkejut dengan apa yang berlaku. “Saya tak dapat berhenti daripada memikirkannya.”