
Acara berbuka puasa atau iftar lazimnya diadakan bersama ahli keluarga, sanak saudara, rakan-rakan, teman sekerja dan orang yang dikenali.Tetapi berbeza dengan lelaki ini yang memilih untuk menganjur acara tersebut dengan orang asing. Jadi apa yang mempertemukan mereka?
Acara “Bukber Para Bambang” (Iftar Bambang) diadakan di Kedai 54 di Kemang, selatan Jakarta dengan menjemput individu yang mempunyai nama Java, Bambang untuk berbuka puasa.
Jemputan Bambang Mukti Nugroho, 46, yang juga pemilik Kedai 54 tular di laman sosial kerana dianggap unik dan istimewa oleh netizen.
Menurut Bambang rancangan mengumpul para Bambang bermula selepas beliau membuka kumpulan Facebook yang dinamakan “Namaku Bambang” pada 2008.
“Ramai orang yang bernama Bambang mahu menyertainya tetapi saya menjadikannya kumpulan tertutup untuk mengelak sesiapa saja menyertainya. Kini, terdapat kira-kira 300 ahli,” kata Bambang petik kompas.com.
Menerusi perhubungan kasual dalam kumpulan itu, wujud idea mengadakan acara berbuka puasa untuk individu bernama Bambang.
Menariknya lagi, acara tersebut diadakan secara percuma.
“Saya hanya akan menjadi resah jika lebih ramai yang menyertainya. Ia bermakna saya kena ambil permit polis. Tetapi saya tidak risau,” katanya.
Bagaimanapun, hanya makanan ringan dan mudah saja yang disediakan dalam acara itu, katanya menu akan ditambah mengikut jumlah pengunjung.