Mahu hidupkan nostalgia Aidilfitri, 2 anak muda hantar kad raya secara rawak

Mahu hidupkan nostalgia Aidilfitri, 2 anak muda hantar kad raya secara rawak

Juliana dan ‘Ariff Putra memperuntukkan RM200 dan RM350 setahun untuk menghantar kad raya kepada orang ramai yang tidak dikenali termasuk individu di luar negara.

kad-hari-raya1
fmt-ohsem-inside-article1Sambutan Aidilfitri pasti tidak lengkap jika tiada tradisi menghantar kad raya kepada kenalan rapat dan saudara mara kerana budaya itu diamalkannya sejak zaman persekolahan lagi.

Bimbang budaya itu akan lapuk ditelan dek zaman, 2 anak muda mengambil inisiatif menghidupkan budaya menghantar kad raya kepada orang ramai secara rawak di bulan Ramadan.

Sejak 2 tahun lalu seorang kerani, Juliana Hamdan, 34, mengambil inisiatif menghantar kad raya kepada individu tidak dikenali bagi menghidupkan kembali nostalgia mengirim dan menerima kad raya.

Memperuntukkan RM200 setiap tahun untuk tujuan itu, Juliana meminta orang ramai termasuk kenalan di laman sosial yang ingin menerima kad raya supaya menghantarkan alamat mereka secara mesej peribadi ke akaun Instagram ‘jhmdn’ miliknya sebelum mula mengarang ucapan kepada mereka.

“Semasa zaman remaja dulu, saya selalu teruja dan penuh pengharapan setiap kali posmen tiba di kawasan perumahan saya untuk menghantar kad raya kerana benda kecil macam ini yang menimbulkan perasaan teruja untuk menyambut hari raya.

“Sekarang suasana raya kurang dirasai tidak macam zaman dulu, jadi saya ambil pendekatan menghantar kad raya kepada orang ramai secara rawak termasuk mereka yang tidak saya kenali kerana saya tidak mahu budaya ini hilang begitu sahaja,” katanya kepada Bernama.

Menariknya usaha yang dilakukan itu turut mendapat sambutan daripada mereka yang belajar dan menetap di luar negara seperti Australia dan Sweden dan kebiasaannya permintaan itu pasti dipenuhi bagi menaikkan semangat mereka yang jauh di perantauan menikmati kemeriahan Aidilfitri.

Bagi pelajar jurusan pengurusan kejuruteraan awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad ‘Ariff Putra Ansaruddin Agus, 26, yang menjalankan ‘Projek Kad Raya’ sejak 3 tahun lepas pula memperuntukkan sekurang-kurangnya RM350 setahun bagi kos pembelian kad, sampul surat dan setem.

Lebih mengujakan pada tahun lepas, individu yang menghantar alamat menerusi Twitter @ariffansar dan Facebook miliknya juga berpeluang mendapat duit raya yang turut diselitkan dalam kad raya yang dikirim.

“Saya selalu membeli beberapa dozen kad yang dijual dengan harga yang berpatutan namun saya akan cuba cari kad yang unik dan cantik asalkan tidak melebihi bajet saya dan kebiasaannya kad tersebut tiada muzik, hanya berbentuk poskad.

“Dalam kad raya tersebut, saya tulis kata-kata mutiara, nasihat serta ucapan terima kasih kerana memeriahkan ‘Projek Kad Raya’ dan istimewanya pada tahun lepas saya selitkan duit raya RM6 pada setiap kad tersebut. Tapi ia tidak boleh buat selalu, nanti bajet saya lari,” katanya.

Tahun lepas sahaja lebih 70 kad raya dihantar kepada orang ramai dan separuh daripadanya dikirim kepada mereka yang tidak dikenalinya, malah beliau turut memenuhi permintaan mereka yang ingin memiliki pelbagai jenis kad raya, antaranya kad bermuzik, pantun, mahupun corak kartun.

“Bagi saya, budaya kad raya ini salah satu kenangan zaman sekolah namun ia makin terhakis dengan teknologi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi WhatsApp, sebab itu saya cuba merealisasikan budaya menghantar kad raya ini kepada kenalan saya dan kemudian diperluas kepada orang lain sama ada saya kenal melalui media sosial ataupun tidak kenal langsung.

“Apa yang saya buat ini sekadar untuk berkongsi kegembiraan dengan orang lain menerusi cara yang berbeza kerana sekurang-kurangnya si penerima menjadi gembira dan teringatkan kenangan zaman muda dahulu dan saya juga dapat pahala kerana membuat orang gembira selain mengeratkan silaturahim sesama umat Islam,” katanya.

Biarpun inisiatif anak muda ini kadang-kala tidak dibalas dengan kiriman semula, ‘Ariff Putra berkata beliau akan tetap meneruskan tradisi tersebut selagi tidak membebankan diri kerana baginya wang dan masa hanya dilaburkan setahun sekali.

Malah beliau teruja apabila tahun ini sahaja menerima permintaan untuk mengirim 100 kad raya.

“Ada juga yang balas balik berupa kad, ada yang balas melalui Instagram atau Twitter di mana mereka akan memuat naik gambar kad itu dan ucapkan terima kasih kepada saya, ada juga yang tidak balas mungkin kerana saya tidak letak alamat.

“Tetapi itu semua tidak menghalang saya teruskan tradisi ini kerana niat saya untuk mengembalikan kenangan zaman di mana kita terhibur dengan jumlah kad yang dapat.

Selain itu, saya dapat mengeratkan silaturahim kepada penerima kad kerana ada sebelum ini kami hanya berkawan melalui media sosial sahaja namun selepas dapat kad raya, kami menjadi lebih rapat dan lebih kerap berborak,” katanya.

Anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini turut mengajak ibu bapa untuk mula mendidik anak mereka menghidupkan budaya mengirim kad raya bagi memastikan kemeriahan Aidilfitri yang disambut setahun sekali tidak pupus ditelan dek zaman dan pembangunan teknologi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.