Wee Loong jelajah perkampungan ‘hantu’ gunung berapi Sinabung

Wee Loong jelajah perkampungan ‘hantu’ gunung berapi Sinabung

Wee Loong berkata tiada apa yang menakutkan kecuali kesunyian yang melampau. Bagi mereka yang takut pada kesunyian ia pasti menggerunkan

Wee-Loong-3
Bagi Keow Wee Loong yang berasal dari Malaysia, tiada yang mustahil dan dia sedia menempuh cabaran demi cabaran.

Kali ini, Wee Loong meneroka 7 perkampungan “hantu” yang ditinggalkan selepas kejadian letusan gunung berapi Sinabung di Medan, Indonesia pada 2014.

“Tiada apa yang menakutkan kecuali kesunyian yang melampau. Bagi mereka yang takut pada kesunyian ia pasti menggerunkan,” kata Wee Loong dalam satu temuramah eksklusif dengan FMT Ohsem.

Dia yang kini berada di Poland turut membawa teman wanitanya, Marta Keow dalam ekspidisi itu.

“Sesekali kedengaran bunyi letusan, itu sahaja. Selebihnya senyap,” kata Wee Loong yang mengakui teman wanitanya dalam ketakutan sepanjang 2 hari mereka di sana.

“Dia takut kalau-kalau kami diganggu, dirompak, dicederakan atau sebagainya. Mujur, tiada apa yang berlaku. Perkampungan itu tiada manusia,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Wee Loong akui mereka terpaksa berjaga-jaga dengan ular dan anjing liar yang “sangat banyak”.

“Itu saja kebimbangan utama kami. Ular sangat banyak, jadi kami kena hati-hati sepanjang masa. Saya pastikan mata terbuka luas dan teliti,” tambah lelaki muda ini.
Wee-Loong-2

Sebenarnya, ekspidisi ini untuk mendokumentasikan perkampungan hantu dan gunung berapi yang masih aktif bagi Projek World Press, sebuah laman yang menjadi platform mempromosi karya jurugambar profesional untuk paparan dunia.

Namun, ia bukan satu-satunya motif di sebalik kunjungan Wee Loong, lelaki ini turut mengambil gambar foto pra-perkahwinannya di kawasan yang diwartakan sebagai “zon merah” oleh pihak berkuasa Indonesia.

Setiap foto yang dikongsi dalam laman sosial Facebook Wee Loong membawa kisah yang tersembunyi.

Banyak barangan peribadi yang ditinggalkan dan ternyata dia terkesan melihat semua itu.

“Setiap rumah yang kami masuk, masih ada banyak barangan peribadi. Jalan-jalan yang sesak kini kosong. Ia menyedihkan,” katanya.

Daripada 7 perkampungan, 3 kampung musnah habis akibat tanah runtuh. Kebanyakan kawasan yang musnah itu bagaimanapun sudah dipenuhi dengan tumbuhan liar.

“Tanah runtuh masih berlaku dan membimbangkan. Dalam ekspidisi ini kami bermula dengan kampung yang tertimbus kerana tanah runtuh. Semua perjalanan dirancang awal menggunakan Google Map. Ia mengambil masa 2 hari untuk melengkapkan perjalanan ini. Bagaimanapun kami tak dapat ambil gambar lava, cuma asap tebal yang terus marak di puncak gunung,” jelasnya.

Apabila hujan atau ingin berteduh, Wee Loong dan Marta akan bersembunyi di dalam rumah kosong. Mereka juga bermalam di rumah kosong dengan menempatkan khemah di dalamnya.
Wee-Loong-1

Wee Loong menambah, dia hanya membawa khemah, topeng udara berpenapis kalau-kalau terkurung dalam abu gunung berapi, tripod dan kamera, baju hujan serta bekalan makanan dan minuman.

“Kami juga bawa banyak ‘power bank’ kerana GPS memerlukan banyak kuasa bateri. Selain itu kebanyakan maklumat dan peta Google dimuat turun terlebih dahulu dan kami bergantung kepadanya dalam meneroka perkampungan tersebut,” jelasnya lagi.

Selama 2 hari berjalan, meneroka 7 kampung, Wee Loong masih tidak berpuas hati. “Kami tidak dapat merakam gambar lava. Hanya letusan dan asal gunung berapi,” katanya.

Dalam pada itu, dia juga tidak membawa pulang apa-apa dari kawasan itu kecuali kenangan yang dirakam secara sempurna dalam lensa kameranya.

Ditanya jika ekspidisi kali ini berbeza atau unik berbanding penjelajahannya ke kota larangan Fukushima beberapa bulan lalu, ini kata Wee Loong.

“Seluruh kawasan ini diambil alih oleh alam. Ia ditinggalkan pada 2014 manakala Fukushima dikosongkan sejak 2011. Walaupun ia masih baru berbanding Fukushima, tetapi hutan belukar menyelubungi kebanyakan kampung. Tetapi ada perkara yang lebih hebat berlaku di sini.

“Saya dapat merakam gambar galaksi bima sakti penuh. Ia agak mustahil melihat bima sakti penuh di negara Asia Tenggara, berbeza dengan negara seperti New Zealand atau di Eropah atau Amerika,” katanya sambil berkongsi gambar tersebut dalam perbualan Messenger bersama FMT Ohsem.

Wee Loong menamatkan komunikasi dengan berkongsi foto itu kepada pembaca FMT Ohsem yang pasti akan teruja melihat keagungan alam dan kemusnahan perkampungan akibat perbuatan alam.

Sebelum ini, Wee Long memanjat jambatan tertinggi dunia, 1,853 kaki di China tanpa sebarang peralatan keselamatan dan kebenaran pihak berkuasa semata-mata untuk melamar teman wanitanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.