Bos beri bonus jika pekerja turun berat badan

Bos beri bonus jika pekerja turun berat badan

Bagi setiap penurunan satu kg , syarikat perunding itu membayar RM63 sebagai bonus.

lose-weight-63-china
fmt-ohsem-inside-article1Benarkah tempat kerja mampu menggalak anda kekal sihat dan kurus dan pada masa sama anda diberikan ganjaran untuk usaha itu?

Di China, sebuah syarikat menawarkan bonus kepada pekerja yang berjaya mengurangkan berat badan.

Menurut portal tempatan, CNWest.com, syarikat perunding Xian Jingtian Investment di wilayah Xian, menggalakkan cara hidup sihat dengan menawarkan bonus 100 yuan (RM63) kepada pekerjanya yang berjaya mengurangkan beratnya 1 kilogram (kg).

Majikan dan pengerusi syarikat itu, Wang Xuebao berkata keputusan itu diambil selepas melihat pekerjanya yang sering duduk tanpa bergerak banyak sehingga menghadapi masalah obesiti.

“Saya harap aktiviti ini akan mewujudkan satu gaya hidup yang sihat dalam kalangan mereka,” katanya.

Namun sebelum melayakkan diri menerima wang bonus, setiap pekerja perlu menurunkan berat badan sekurang-kurangnya 3kg.

Lebih separuh pekerja di syarikat itu mengambil bahagian dalam program berkenaan dan ramai yang memujinya sebagai satu usaha yang murni.

Bagi pekerja syarikat itu, Zhou Wei, program yang diperkenalkan syarikatnya itu berjaya menurunkan berat badannya.

Dalam tempoh hanya 2 bulan dia memperoleh bonus sehingga 2,000 yuan (RM1,259) selepas menurunkan 20 kilogram.

“Sebelum ini saya sering memakan daging dalam setiap hidangan tetapi kini saya hanya makan cendawan dan telur untuk makanan tengah hari,” katanya.

Program yang menerima sambutan luar biasa ini sangat dialu-alukan bukan sahaja dalam kalangan pekerja malah semua orang yang mendapat tahu mengenai usaha murni syarikat itu.

Syarikat itu dipuji kerana menggalak pekerjanya kekal sihat dan kesediaan mereka menawarkan bonus yang dianggap agak lumayan.

Bagaimanapun, bosnya, Wang Xuebao pula akui masih bergelut untuk menurunkan berat badannya.

Ada pihak yang bimbang penilaian dan pemberian bonus mengikut imej dan berat badan akan menyebabkan pekerja mengamalkan kaedah penurunan berat yang tidak selamat.

Sebelum ini China pernah digemparkan dengan obsesi bentuk badan ramping dalam media sosial dengan para wanita membezakan saiz pinggang dengan kertas A4, saiz 2 pergelangan tangan, kepingan duit 100-yuan dan saiz melintang telefon pintar iPhone.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.