

Bagi anak muda berusia 25 tahun ini, apa yang penting dia tidak mahu digelar penganggur sejurus menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat.
Pantang sahaja nampak iklan jawatan kosong, dia pasti menghantar permohonan tetapi jawapan yang diterima selalu menghampakan.
“Banyak kali saya ke Kuala Lumpur menghadiri temuduga tetapi gagal. Alasan majikan, saya tidak ada pengalaman.
“Bagaimana, saya hendak ada pengalaman kalau tidak diberi peluang,” katanya kepada Bernama.
Situasi itu membuatkannya Muhammad Mahfudz tertekan. Selepas 3 bulan menganggur, keputusannya menghadiri temuduga Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) berjaya membawa sinar harapan.
“Setelah diterima menyertai program SL1M-TH Plantations Berhad, saya ditempatkan di Unit Insurans walaupun tidak memiliki kelayakan ijazah dalam bidang itu.
“Namun, TH Plantations membuka peluang untuk saya menimba pengalaman dan membina keyakinan diri dalam melaksanakan tugas saya,” katanya yang sudah 2 tahun berkhidmat di syarikat itu sebagai Eksekutif Unit Insurans.
Graduan berlambak tanpa kerja
Hakikatnya, ratusan hingga ribuan graduan lain turut berdepan dengan masalah sama dalam mencari peluang pekerjaan.
Ketiadaan pengalaman kerja menjadi faktor utama graduan sukar mendapatkan pekerjaan.
Majikan memilih individu berpengalaman kerana mudah dan tidak perlu membuang masa melatih pekerja baharu.
Situasi ini mencetus kebimbangan apatah lagi bilangan graduan terus meningkat dari tahun ke tahun dan mungkin menimbulkan masalah lambakan graduan.
“Kami bukan sahaja perlu bersaing dengan lepasan graduan tetapi pekerja berpengalaman. Oleh itu, saya mengikuti program SL1M bagi mempelbagaikan kemahiran tambahan,” ujar Muhammad Mahfudz.
Diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, SL1M dilancarkan pada 2011 untuk menangani isu pengangguran graduan yang dilihat semakin serius.
Latihan SL1M beri nilai tambah
“Graduan mempunyai nilai tambah sekiranya berpengalaman. Bayangkan, kalau anda menghadiri temuduga tanpa sebarang pengalaman.
“Mereka boleh timba pengalaman dari aspek penglibatan dalam projek, kerja dan kemahiran yang dipelajari sepanjang latihan,” kata Norashikin Datuk Ismail, Ketua Sekretariat SL1M.
Diseliakan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, SL1M dijayakan melalui kerjasama penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan swasta secara Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Ia bertujuan memperkasakan siswazah dengan kemahiran, pengalaman pada satu tempoh percubaan bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan.
Semua kos perbelanjaan bagi melatih graduan ini dibiayai sepenuhnya syarikat.
Menghargai komitmen syarikat dalam melatih graduan, kerajaan menawarkan Insentif Potongan Cukai Berganda dan Insentif HRDF-SL1M.
Habis latihan, dapat kerja di syarikat besar
Menurut Norashikin, graduan berminat boleh mendaftar di laman SL1M atau menghadiri temuduga terbuka SL1M dan tempoh program bergantung kepada syarikat terlibat melatih graduan, maksimum setahun.
Graduan yang sebelum ini tidak diterima syarikat besar berjaya mendapat jawatan baik dengan gaji menarik selepas menyertai SL1M.
Sehingga kini, SL1M membantu 100,000 graduan mendapatkan pekerjaan sejak ia diperkenalkan pada 2011.
“Graduan SL1M menjadi rebutan syarikat kerana bukan sahaja didedahkan pengalaman alam pekerjaan, bahkan latihan kemahiran insaniah yang dapat meningkatkan keyakinan diri dan berdaya saing,” katanya.
Malaysia adalah satu-satunya negara yang menyediakan platform untuk pencari kerja terutama graduan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka menerusi SL1M.
Malah setiap pelatih yang menyertai program itu turut menerima elaun minimum RM1,000 sebulan (bergantung kepada syarikat) dan perlindungan insurans serta perubatan.
Tiada diskriminasi, semua kaum diberi peluang sama
“Setelah menjalani latihan selama setahun serta mendapat kerja setaraf ijazah dimiliki, ada yang mampu membawa ibu ayah menunaikan haji dan beri perkhidmatan kesihatan lebih baik kepada orang tua mereka,” tambah Norashikin.
Tiada diskriminasi malah SL1M berjaya memberi sinar kehidupan kepada semua kaum serta golongan istimewa, Orang Kelainan Upaya (OKU).
Bagaimanapun, di sebalik kejayaan positif masih ada yang mempertikaikan keberkesanan program antaranya mempersoalkan statistik pengangguran negara yang masih meningkat.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem dipetik sebagai berkata laporan penyiasatan tenaga buruh oleh Jabatan Perangkaan mendapati bilangan belia yang menganggur pada 2015 adalah 273,600 orang berbanding 2014 iaitu 248,000 orang.
Norashikin menjelaskan, kadar pengangguran tinggi graduan adalah merupakan fenomena global yang dihadapi setiap negara membangun dan maju.
Bagaimanapun, beliau menekankan masalah tidak mendapat kerja antaranya berpunca daripada sikap graduan itu sendiri.
SL1M memang berdepan dengan graduan memilih kerja, tidak suka kerja 3D (dirty, dangerous dan difficult), tidak berdisiplin dan bersikap negatif. Walhal, banyak kerja kosong setaraf kelayakan mereka dalam bidang kurang digemari seperti peruncitan, peladangan dan pemasaran.
“Jadi kami terpaksa membentuk semula pemikiran serta jati diri mereka. Antaranya dengan menggunakan video graduan serta OKU yang berjaya untuk membuka mata graduan yang berkenaan,” katanya.
Kalau nak kontrak kerajaan, sertai SL1M
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Feb lepas mahu syarikat senaraian awam mengambil bahagian program SL1M atau mereka mungkin berdepan kesukaran mendapatkan kontrak besar daripada kerajaan.
Beliau dipetik berkata penyertaan syarikat dalam program itu akan dijadikan prasyarat menentukan kelayakan untuk mendapat kontrak kerajaan pada masa akan datang.
Menurut Norashikin Datuk Ismail, Ketua Sekretariat SL1M, sebanyak 300 buah syarikat terbabit menjayakan SL1M dan daripada jumlah itu hanya 10% merupakan syarikat senaraian awam.
“Saya minta syarikat di luar sana yang kurang percaya SL1M dan menganggap ia hanya membantu satu kaum sahaja, ubah persepsi ini. Kami menghasilkan satu buku ‘Faith’ menghimpunkan kejayaan peserta SL1M bagi rujukan syarikat.
“Peserta program ini berbilang kaum, etnik dan peringkat ekonomi. Ini adalah masanya untuk syarikat menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.
TH Plantations Berhad adalah antara syarikat besar terlibat menjayakan SL1M sejak 2015 sehingga hari ini. Sepanjang tempoh itu, kira-kira 330 graduan mendapat latihan di syarikat berkenaan.
Fadzil Abdullah, Pengurus Besar Sumber Manusia, TH Plantations Berhad berkata progam ini memudahkan syarikat mencari calon pelapis kerana tidak perlu membuang masa atau wang ringgit mengiklankan kerja kosong.
“Kita ada 39 ladang dan 6 kilang kelapa sawit di seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak untuk memberi peluang latihan SL1M.
“Daripada 330 graduan sepanjang menjayakan SL1M, kira-kira 30 orang diserap tetap. Yang lain, ada sambung belajar atau mendapat pekerjaan tempat lain,” katanya.