

Kebersihan dalam dan di luar kolam, kejernihan air, kalau-kalau bau air berbeza atau bau klorin terlalu kuat dan kalau ia kolam terbuka, dan saya elak bawa anak selepas hujan.
Tak tahulah kalau apa yang saya lakukan itu betul atau hanya mitos semata-mata.
Akhir-akhir ini hujan turun setiap hari, maka saya membatalkan niat membawa anak-anak mandi di kolam renang di unit pangsapuri saya. Anak pula selalu merungut, kenapa tak boleh, kenapa mak memilih sangat, kenapa orang lain boleh mandi kami tak boleh…. dan macam-macam lagi.
Mungkinkah saya terlalu ‘melindungi’?
Menurut laman SwimUniversity.com, hujan boleh memberi kesan kepada keadaan kimia air kolam kerana air hujan bersifat asidik sekali gus mengganggu keseimbangan pH. Kalau hujan lebat, air yang banyak boleh mencairkan lagi kandungan kimia asal kolam renang.
“Namun, jika hujan biasa, anda tidak perlu risau sangat mengenainya,” petik laman itu.
Kalau kolam renang itu milik sendiri, maka ia bolehlah dibersihkan atau periksa keseimbangan pH, tetapi bagi kolam renang awam, tak salah berhati-hati kot.
Kadang-kadang saya terserempak dengan kanak-kanak dan orang dewasa yang suka bermandi-manda pada waktu hujan.
“Big no – no!,” kata seorang kawan, Jayagandi Jayaraj yang pernah menjadi penyelamat kolam renang di Universiti Sains Malaysia (USM).
Menurutnya, kolam renang sepatutnya ditutup pada waktu hujan, bukan sahaja untuk kanak-kanak malah orang dewasa, apatah lagi pada musim hujan lebat dengan petir.
“Biasanya pihak pengurusan akan menutup kolam renang sewaktu hujan kerana selain memberi kesan pada kesihatan, ia boleh menyebabkan kemalangan,” jelasnya.
Di samping isu berenang pada musim hujan, dia juga berkongsi beberapa perkara yang sepatutnya dielak sama sekali di kolam renang.
Antaranya ialah;
– jangan buang air kecil
– jangan berenang dalam gaya yang boleh mengganggu perenang/pengguna lain
– pakai pakaian renang yang sesuai dan sepatutnya untuk kanak-kanak mahupun dewasa
– dilarang meludah atau menghembus hingus
– dilarang menyelam di dasar kolam
– jangan masuk ke dalam kolam jika terdedah kepada jangkitan, luka terbuka.
– jangan bawa haiwan peliharaan ke kolam renang
– kalau tidak mahir berenang elak kolam yang dalam.
– elak makan di sekitar dan di dalam kolam renang awam
– jangan masuk kolam renang sebelum membasahkan diri dan gunakan krim pelindung matahari
Faham?
Bercakap mengenai perihal makan di tepi atau di dalam kolam renang, saya selalu terserempak dengan kanak-kanak yang disuap makan di tepi kolam atau di dalam kolam di pangsapuri saya.
Tidak ketinggalan bagi mereka yang buat “pool party”, bungkusan makanan dan serpihan makanan boleh kelihatan terapung di atas air di kolam.
Sebenarnya ia bukan sahaja mengganggu pemandangan malah tidak bersih dan tidak sihat.
“Mungkin kerana kolam renang di pangsapuri bersifat rekreasi, maka orang ramai salah gunakannya. Tetapi mereka kena sedar ia bukan tempat makan. Lebih buruk lagi bila serpihan makanan dibuang dalam kolam,” kata Jayagandi lagi.
Satu kolam renang yang besar terkesan akibat perbuatan itu dan kerja pembersihan kolam renang bukanlah mudah…
Jayagandi juga mengungkit tabiat ibu bapa yang suka membawa anak kecil memakai lampin pakai buang bermandi-manda di kolam renang awam.
“Nak kata tak bertamadun, duduk di kondo setengah juta; nak kata tak berpelajaran, kerja berpangkat tinggi; nak kata tak tahu, mereka ini digelar professional. Jadi, buatlah perangai macam orang bertamadun!”