
Wanita ini hanya berusia 14 tahun ketika berkahwin dengan lelaki yang menculiknya. Kini dia yang berusia 52 tahun masih tidak mencintai lelaki itu.Itulah nasib segelintir wanita Kyrgyzstan apabila mereka terpaksa berhadapan dengan tradisi yang menekan hak wanita, diculik dan dikahwini, terpaksa hidup dengan lelaki itu tanpa setitik pun rasa cinta.
Taip sahaja “bride kidnaping” di Youtube, dan anda akan melihat beratus klip video wanita semuda 12 tahun diculik untuk dijadikan isteri.
“Ibu saya diculik dan dijadikan pengantin. Kakak saya juga diculik. Hampir semua saudara-mara perempuan saya diculik dijadikan isteri,” kata seorang wanita Kyrgyzstan untuk sebuah filem pendek yang dirakam bagi menyedarkan orang awam mengenai masalah itu.
Wanita itu diculik dan dipaksa berkahwin pada usia 16 tahun. “Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkahwinan. Ia sangat sukar kerana saya tidak mencintainya. Saya tiada pilihan dan saya tidak pernah berkongsi kasih sayang saya,” katanya kepada krew, After The Rain.
Satu dari 10 remaja perempuan berkahwin sebelum usia 18 tahun di Kyrgyzstan. Menurut Dana Populasi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kebanyakan perkahwinan kanak-kanak berlaku kerana penculikan pengantin.
Pada 2013, undang-undang negara itu menyatakan, menculik seseorang untuk berkahwin secara paksa boleh dikenakan hukuman penjara 7 tahun, namun adat itu masih diteruskan. Undang-undang pula diabaikan, mungkin kerana tiada laporan dibuat oleh keluarga terlibat.
Jawatankuasa Menghalang Diskriminasi terhadap Wanita (Cedaw) dalam satu kenyataan berkata, penculikan pengantin diterima secara sosial dan disokong oleh budaya senyap dan jahil menyebabkan kebanyakan kes tidak dilapor.
“Mereka fikir ia hal peribadi justeru harus diselesaikan dalam keluarga masing-masing,” petik kenyataan Cedaw.
PBB menggunakan perangkaan Pusat Sokongan Wanita NGO menjelaskan sekurang-kurangnya 11,800 kes penculikan pengantin berlaku setiap tahun di Kyrgyzstan dengan lebih 2,000 dilapor dirogol. (Jumlah populasi di negara itu sekitar 7 juta orang)
“Sesetengah orang akui adat penculikan pengantin semakin berkurangan tetapi tanpa data rasmi yang menyokongnya, sukar disahkan,” kata wakil rakyat negara itu, Dauletova.
Kahwin paksa diharamkan dalam Islam. “Dalam undang-undang syariah, ia tidak sah,” katanya lagi.
Menurut profesor hak asasi Universiti Amerika Asia Tengah, Chingiz Batyrbekov, penculikan pengantin masalah hak asasi dan mula diberi perhatian serius sejak akhir-akhir ini.
“Ada undang-undang tetapi ia tidak cukup berhasil. Kerajaan masih tidak melihatnya sebagai satu isu besar. Hanya wakil rakyat wanita yang mengetengahkan isu itu,” katanya.