Jepun mungkin pupus jika populasi tidak tambah

Jepun mungkin pupus jika populasi tidak tambah

Data jualan lampin dewasa yang melebihi lampin bayi sejak 2011 seakan-akan menyokong statistik 26.7% daripada 127.11 juta populasi Jepun ialah warga emas.

pajan_people
fmt-ohsem-inside-article1Jepun ibarat bom jangka yang akan meletup dan hilang daripada peta dunia tidak lama lagi, jika demografinya kekal sama dan populasi tidak meningkat.

Menurut laporan The Business Insider UK, majoriti penduduk Jepun terdiri daripada mereka yang berusia lebih 65 tahun.

Sebanyak 26.7% daripada 127.11 juta populasi Jepun ialah warga emas dan angka ini meningkat 3.7% sejak 6 tahun lalu.

Menariknya, data jualan lampin dewasa yang melebihi lampin bayi sejak 2011 juga seakan-akan menyokong situasi itu.

Peningkatan populasi tua di Jepun berpunca daripada kadar kesuburan rendah yang seterusnya menyebabkan kadar perbelanjaan pengguna semakin menurun.

“Apabila warga emas semakin ramai, orang muda komited menjaga mereka. Mereka tidak mahu kahwin atau menimang anak, menyebabkan negara itu bakal berdepan masalah populasi tua lebih serius pada masa akan datang,” lapor kajian itu.

Bukan itu sahaja, Jepun turut berdepan senario “pengabaian” warga emas, di mana generasi muda akan menghantar orang tua ke hospital dan rumah penjagaan kerana tidak berkemampuan.

Keadaan itu mungkin menyebabkan warga emas yang terdesak meneruskan kehidupan mengambil jalan pintas dengan melakukan jenayah kecil seperti mencuri supaya mereka disumbat ke dalam penjara yang membekalkan makanan dan tempat tinggal kepada banduan.

“Mereka mencuri supaya boleh tinggal dalam penjara. Penjara dah jadi macam rumah kebajikan orang tua. Warga emas sanggup mengulangi jenayah itu untuk berada di penjara yang memberi penjagaan baik dan boleh bersosial,” lapor The Business Insider UK.

Jika keadaan itu berterusan, Jepun mungkin pupus kerana 34% populasinya akan hilang menjelang 2100 dan negara itu dijangka “kiamat” pada 12 Ogos 3776.

Hasil penyelidikan menunjukkan generasi muda di Jepun lebih fokus kepada pekerjaan dan menyimpan wang berbanding bersosial atau berkeluarga.

“Mereka mahu berkahwin, tetapi untuk hidup berteman sebagai rakan, bukan berkeluarga,” menurut laporan itu.

Waktu kerja yang panjang menyebabkan mereka tidak boleh bersosial, selain turut menghadapi masalah kesihatan.

Kaji selidik melibatkan 10,000 responden pada Oktober 2016 menunjukkan lebih 20% responden menghabiskan sekurang-kurangnya 80 jam untuk kerja lebih masa dalam tempoh sebulan – petanda generasi muda terdesak menyimpan wang.

Susulan itu, kerajaan Jepun mengambil langkah serius dengan menasihatkan rakyatnya meninggalkan tempat bekerja tepat pada waktunya dan bercuti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.