
Yuna, seorang penggiat seni hiburan kelahiran Malaysia yang terkenal di seantero dunia. Langkah wanita muda ini menembusi pasaran muzik di Amerika Syarikat (AS) terus mengembangkan nama dan popularitinya.Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai ditemui krew Conversation With di Jakarta baru-baru berkongsi betapa dirinya kini lebih bersedia berdepan dengan pengkritik yang selalu mempersoalkan cara berpakaian dan sensitiviti fesyennya.
Kekal dengan identiti Islam, berpakaian menutup aurat tetapi dengan gaya dan fesyen tersendiri, Yuna berkata dia tidak mahu berganjak dari dunia hiburan dan pada masa sama tidak membelakangi agama.
“Ramai yang memberi pandangan mengenai apa yang patut saya pakai dan tidak, dan saya bayangkan, ‘Apakah ini yang kami sebagai wanita terpaksa lalui setiap hari?’,” katanya.
Berbeza dengan pendirian Yuna, kebanyakan artis wanita antarabangsa hari ini diminta berpakaian secara lebih terbuka. “Jika mahu menjadi artis, anda kena berpakaian seksi, skirt pendek.”
“Mujur saya tidak menerima permintaan itu. Semoga cara berpakaian saya akan mengubah persepsi peminat terhadap industri ini. Ia bukan hanya mengenai imej seksi,” jelasnya.
Itu keluhannya mengenai pandangan Barat, malah orang Asia tidak kurang juga.
“Mereka ajar saya, ‘Oh kamu tak sepatutnya memakai turban, kamu sepatutya memakai tudung, tudung labuh’,” katanya.
Yuna pernah dikritik ekoran penampilannya dalam iklan Barney pada 2014 yang menampakkan bahagian lehernya.
“Saya rasa janggal apabila selama ini saya melayan apa yang dikatakan orang. Saya sudah 30 tahun ini, dan perkara seperti ini rupanya pernah mengganggu saya ketika saya di zaman 20-an,” tambahnya.
Yuna yang kini menetap di Los Angeles turut bercakap mengenai jatuh bangunnya dalam industri muzik, kebenaran ibu bapa dan kehidupannya di AS selepas Donald Trump mengambil alih kerusi presiden.
Bagi Yuna, imej berhijab tidak pernah menjadi masalah di AS.
“Los Angeles yang kaya dengan kepelbagaian. Orang ramai lebih terbuka kepada budaya baharu. Hijab tidak pernah menjadi halangan,” katanya.