
Mati uji tahap kekuatan fizikal anda dengan menyertai pertandingan “Cabaran Towerthon Antarabangsa Menara KL” yang bakal berlangsung pada 14 Mei ini di Menara Kuala Lumpur.
Syaratnya, pastikan anda sihat, cergas dan cerdas. Ini kerana ujian ini memerlukan anda berlari mendaki bukit sejauh 800 meter sehingga ke lobi Menara Kuala Lumpur.
Seterusnya, anda perlu memanjat 2,058 anak tangga sehingga ke Dewan Bankuet Megaview yang terletak 288 meter daripada paras bumi.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan berkata, sejak acara ini diperkenalkan buat pertama kali pada 1998, ia terus menerima sambutan menggalakkan.
“Tahun ini acara ini akan diadakan sebagai acara bagi sokongan menghangatkan Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017,” katanya.
Istimewa untuk tahun ini, pihak Menara KL juga memperkenalkan kategori baharu iaitu kategori selebriti.
Dalam kategori ini, selebriti yang meminati sukan lasak dan ingin mencabar diri untuk bersama-sama mendaki 2,058 anak tangga di Menara KL dijemput untuk menyertainya.
“Ini bermakna, pada tahun ini, terdapat 9 kategori yang akan dipertandingkan.
“Rekod terbaik yang pernah dicatat peserta lelaki Malaysia setakat ini adalah 11 minit 56 saat, manakala peserta wanita Malaysia mencatatkan masa terbaik 14 minit 51 saat. Kami berharap peserta tempatan pada kali ini akan lebih kompetitif untuk memecahkan rekod yang tercipta sebelum ini,” kata Meor.“Cabaran Towerthon Antarabangsa Menara KL” kali ini membabitkan tema “Let’s Be Victorious” dan melibatkan 9 kategori termasuk kategori selebriti.
Salah satu acara sukan lasak utama berprestij Menara KL, Meor terus menabur harapan yang tinggi terhadap pesertanya sekali gus mempromosikan Menara KL sebagai destinasi kebudayaan, aktiviti lasak dan alam semulajadi.
Okay, dah bersemangat untuk mendaftar, tunggu, baca syarat penyertaannya dahulu.
Peserta mestilah berumur 13 tahun dan ke atas dan yuran penyertaan “pendaftaran awal” sebelum 31 Mac 2017 bagi peserta dewasa ialah RM65.00, pelajar sekolah ialah RM30.00 dan peserta dari luar negara ialah RM90.00, manakala bagi peserta kelainan upaya (OKU), yuran penyertaan adalah percuma.
Ingat, tarikh tutup penyertaan adalah pada 5 Mei 2017.
Kalau berjaya menakluk Menara KL, anda pasti akan pulang dengan pelbagai hadiah, yang secara keseluruhannya bernilai RM48,500.
Rekod masa terbaik bagi individu lelaki dan wanita Malaysia juga akan memenangi wang tunai tambahan sebanyak RM2,000 setiap seorang.
Jadi, tunggu apa lagi? Jom daftar “Cabaran Towerthon Antarabangsa Menara KL” dengan menghubungi talian 03-20205448 / 03-20205499 atau layari laman sesawang kami di www.menarakl.com.my untuk maklumat lanjut.