
Pada usia melepasi 6 dekad, cinta lelaki ini terhadap tarian klasik India, Odissi tidak pernah pudar. Malah ia terus berkembang di sebalik kontroversi dan sensitiviti agama serta bangsa yang diutarakan pihak tertentu.
Apapun, Ramli Ibrahim adalah aset negara, menambah nilai kepadanya, beliau penari seni India yang berbangsa Melayu.
Peluang berjumpa dengan beliau ternyata satu momen yang mengujakan tetapi perkongsiannya mengenai tarian akan datang (ketika ditemuramah), Amorous Delight lebih daripada itu.
“Amorous Delight diilhamkan daripada AmaruShataka, sebuah antologi cinta kurun ke-9. Ia ditulis dan diilustrasi dalam 2 keping daun nipah di Orissa,” kata Ramli membuka bicara.
Amorous Delight yang sedang dipersembahkan oleh krew Sutra Foundation di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) bermula 15 Mac (Rabu lepas) hingga 19 Mac (Ahad) ini, adalah ulang tayang yang dikemas kini dengan pelbagai elemen baharu.
“Ketika membuat persembahan Ganjam di Orissa, saya didekati seorang rakan, Meera Dass yang ketika itu menganjurkan sebuah festival seni.
“Saya mengatur persembahan pertama Amorous Delight dalam masa yang singkat dengan latihan yang terhad. Dari situ saya kembangkan lagi dan menjalankan satu lagi persembahan di Malaysia pada Julai 2016. Ia bukan sesuatu yang baru bagi kami untuk membuat persembahan pusingan kedua,” katanya.
Selepas tayangan dunia di Orissa dan tayangan Malaysia, Amorous Delight bangkit lagi. Berbanding dengan persembahan pusingan pertama yang dijalankan dalam skala kecil, Ramli mahu mengemaskini kepada satu penyampaian yang lebih menawan, menggunakan format yang rapi serta teliti.
Pakaian krew penari yang direka oleh Datuk Bernard Chandran, dikomposisi dan koreografi oleh Ramli sendiri, Amorous Delight pusingan kedua sudah pun membuka tirainya.
Selain bersifat persembahan, Ramli tidak menafikan fungsi Sutra Foundation yang kekal memberi keutamaan kepada pengumpulan dana dalam setiap persembahannya.
“Sutra Foundation bukan sekadar tarian, tetapi ia majlis seni yang menekan seni persembahan dan visual, pameran dan didikan. Kami berkomunikasi dengan orang awam mengenai betapa seni memberi justifikasi kepada kualiti hidup,” katanya.
Baginya seni tidak boleh dinilai menggunakan sebarang skala atau KPI kerana ia mewakili sifat dalaman seseorang, membentuk psikologi seseorang.
“Kita harus menyemai nilai seni dan membina bangsa seni. Dan yang penting bukan hanya menumpu kepada budaya mono seperti seni bangsa Melayu atau India atau Cina tetapi terbuka kepada semua,” jelasnya.
Beliau turut memberi komen mengenai sokongan dan bagaimana untuk terus mengembangkan seni kreatif ini, Ramli akui ia harus dilakukan dengan rasa ghairah dan mengutamakan nilai eksklusiviti.
“Kreativiti tiada kaitan dengan kerajaan tetapi manusia. Namun kerajaan kena menyokong dengan menyediakan platform yang baik. Seni kreatif ialah seperti perisian merangkumi aspek sastera, muzik, tarian dan sebagainya. Ia harus diraikan,” tambah Ramli.
Ramli juga menceritakan program “outreach” yang menyasar untuk memperkasa seni di kalangan orang awam di luar Kuala Lumpur.
“KL terlalu sibuk dengan pelbagai acara, baik pameran, seni, budaya, muzik tetapi bagaimana dengan mereka yang berada di luar? Melalui program ini kami bawa seni ini keluar dari sini. Kami komited untuk melabur dalam seni supaya ia dapat membuahkan hasil yang baik kepada semua,” ulasnya.