

Saya cuma mahu mengutarakan soalan yang berlegar di fikiran saya dan kawan-kawan wanita mengenai signifikan sambutan Hari Wanita, pada hari ini.
“Adakah sambutan Hari Wanita pada hari ini membawa apa-apa kesan kepada kehidupan kamu?” tanya rakan sekerja di meja hadapan.
“Tak, it’s just another day,” jawab saya.
“Saya pun. Rutin yang sama dari awal pagi pukul 4 hinggalah waktu malam nanti. Kerja di pejabat, kerja di rumah, kerja sepanjang hari,” katanya.
Saya hanya angguk. Mungkin ada sambutan di luar sana. Saya periksa laman web, tiada apa yang menarik. Mungkin ada sambutan di tahap antarabangsa, tapi tidak membawa apa-apa kesan pun pada kami.
Hanya Facebook dan Twitter dipenuhi mesej “Selamat Hari Wanita”, atau lebih sikit disertakan slogan, puisi ataupun gambar.
Hampir semua orang dalam senarai rakan kongsi ucapan masing-masing. Bagi mereka yang hantar ucapan kepada saya, terima kasih!
Oh ya, Whatsapp pun penuh dengan ucapan sama, terima kasih juga.
Sekarang separuh hari sudah berlalu, saya terfikir jika kita semua sedar matlamat dengan kewujudan Hari Wanita ini.
Tertanya juga jika ada Hari Lelaki, memandangkan kita selalu saja melaungkan isu kesaksamaan gender. Carian mengenai Hari Lelaki di Google dan Yahoo ternyata tiada.
Harap kaum Adam ini bersabar… kami tak berniat mengabaikan hak anda.
Tengok bagaimanapun pihak ‘peniaga’ menggunakan sebaiknya hari istimewa ini.
Beberapa perkongsian di laman sosial menunjukkan terdapat diskaun atau harga istimewa untuk wanita di kafe, restoran, hotel, pusat hiburan, pusat beli-belah dan sebagainya.
“Di pertengahan minggu yang sibuk, ada ke masa nak “shopping” atau ke pusat hibutan? Tawaran hari ini sia-sia,” usik rakan saya.
Berapa kerat saja dari kita yang ada masa untuk meluangkan masa menyambut Hari Wanita ini.
Apa yang dinyatakan itu bukan apa yang dikehendaki seorang wanita, malah itu bukan signifikan Hari Wanita yang sebenar. Jangan jadikan hari ini untuk mengaut keuntungan dalam perniagaan.
“Jadi apa yang anda mahu?”- saya dengar suara hati anda.
Jangan tanya saya, setiap wanita ada kemahuan mereka yang sendiri.
Ibu, anak perempuan, mak cik, guru wanita, rakan sekerja wanita, bos wanita, jiran wanita, semua mereka pasti ada perkara yang mahu dikongsi dan disampaikan.
Ibu anda mahu luangkan masa bersama anda dan cucunya; anak perempuan anda tidak mahu dia dipandang ‘kurang’ daripada adik lelakinya; rakan sekerja wanita tidak mahu anda mengambil peluang ke atasnya.
Boss wanita mahu dihormati sama seperti bos lelaki; jiran wanita anda tidak mahu anda membulinya dengan buang sampah di depan rumahnya; guru wanita anda tidak mahu anda memandangnya serong; isteri anda mahu dia diberi hak yang sama seperti anda.
… dan senarai ini boleh berpanjangan.
Jadi, gunakan peluang ini, Hari Wanita ini untuk berterima kasih atas usaha, pengorbanan dan jasa mereka. Cuba betulkan semula hubungan anda dengan wanita di sekeliling anda.
Hormat dan berikan mereka hak yang sepatutnya, mungkin itu sahaja yang mereka mahu (kecuali yang minta beg atau kasut berjenama).
Bukan bermakna hari lain bukan untuk wanita. Kalau wanita itu dihormati dan dihargai, setiap waktu dan masa adalah hari kami!