
“Lelaki tidak membesar, cuma barang permainan mereka lebih mahal dan besar sekarang.”
Kalau anda ke galeri Shioktoys di eCurve, Damansara, anda akan faham maksud frasa di atas.
Shioktoys ialah kedai menjual patung besar kebanyakannya watak “super hero” sebagai koleksi bagi yang berminat dan tentu sekali, berkemampuan.
Pemilik galeri dan peruncit Shioktoys, Kelvin Loke, pada awalnya hanya bermula sebagai pengumpul koleksi sebelum terlibat dalam perniagaan ini secara serius.
“Hampir semua patung di galeri 1,600 kaki persegi ini milik saya. Saya tiada tempat menyimpannya, jadi saya gunakan ruang ini. Ia berfungsi sebagai galeri, muzium dan ruang peribadi,” katanya sambil menunjukkan premis sebelah yang menyimpan stok untuk dijual.
Dengan pencahayaan khusus untuk setiap patung, tanpa sebarang bingkai perlindungan, Kelvin mahu pengunjung melihat secara terperinci dan menyentuh (dengan kebenarannya) figura dipamerkan itu.
Setiap patung superhero dan karektor filem ini akan memberi kepuasan yang tidak boleh dijelaskan dengan kata-kata, ujar Kelvin.
“Sewaktu didekati pemilik asal bisnes ini, supaya mengambil alihnya, saya menolak. Saya hanya pengumpul, bukan ahli perniagaan. Lagipun saya tidak pernah terfikir mengenainya.”
Bagaimanapun Kelvin menerima selepas mempertimbangkannya sebagai pelan persaraan yang baik.
Koleksi terhad semakin digilai
Kini, Kelvin sudahpun mengembangkan perniagaan yang diambil alih pada 2004 (ketika itu di 1Utama) dan membuka galeri di eCurve pada 2015.
Daripada 20 hingga 30 pelanggan, dia kini mempunyai 300 pelanggan tetap.
“Responsnya sangat baik. Dengan adanya media sosial, kita ada rangkaian yang baik. Shioktoys juga dibawa ke tahap lebih baik di mana kini kami pengedar tunggal Prime One Studio, satu syarikat membekalkan patung berprestij dan berkualiti,” katanya.
Di dinding mengadap pintu masuk, terletak 2 figura, Batman dan Superman sebelah menyebelah.
Kelihatan sangat “real”, bersaiz besar, kanak-kanak yang melihatnya pasti lebih teruja, tetapi kerana pasarannya untuk dewasa, galeri ini tidak membenarkan kanak-kanak memasuki ruang tersebut.
Kelvin juga mengaku semua patung di galeri dan kedainya sudahpun diinsuranskan kerana ia bukan barangan remeh.
Ini kerana sebarang kemalangan membabitkan ganti rugi yang mahal selain sukar dicari ganti.
“Ini koleksi patung ‘half scale’ daripada Prime One Studio, seperti mana anda lihat dalam filem Batman vs Superman. Ia diperbuat daripada polystone, teksturnya sama seperti porselin tetapi keras. Ditambah dengan fabrik untuk kelihatan lebih realistik,” katanya.
Patung ‘half scale’ bermakna separuh daripada saiz sebenar watak. “Batman ini separuh saiz sebenar Ben Affleck,” katanya.
Manakala persalinan dan aksesori patung tersebut menggunakan material berkualiti tinggi.
Menurut Kelvin, setiap patung Prime One dikeluarkan dalam bilangan terhad, misalnya 3,000 unit dan setiap unit mempunyai nombor bersiri. Bermakna bahan koleksi ini bukan sahaja berharga dan mempunyai nilai jual semula yang tinggi tetapi boleh di “track-down” menggunakan nombor sirinya.
Lelaki dewasa yang berusia sekitar 30-an hingga 40-an adalah pelanggan utama Shioktoys.
“Mereka boleh dikaitkan dengan zaman kanak-kanak yang dikelilingi kartun Marvel atau super hero lain, komik, filem-filem tertentu dan sebagainya. Bila membesar, pengaruh itu masih kekal justeru patung-patung ini menjadikan mereka teruja, sama seperti kanak-kanak di ToyRUs,” seloroh Kelvin.
Betulkah kata Kelvin, FMT Ohsem bertemu 2 pengumpul koleksi patung, Nicholas Yeow dan Ethan Kong di Shioktoys.
Zaman kanak-kanak pengaruhi pengumpul
Nicholas 35, pakar kimia, mengumpul patung secara serius sejak 2000.
“Setiap figura ini membawa memori tertentu dalam hidup saya. Manakala keterperincian, rekaan serta kualiti menarik minat saya,” kata Nicholas yang kini menyimpan hampir 100 patung figura.
Benar, untuk menyimpan figura pelbagai saiz, biasanya besar, wujud masalah ruang. Bagi Nicholas setiap sudut di rumahnya menempatkan patung.
Keghairahan Nicholas terhadap figura ini bukan terhad dengan koleksi di Shioktoys malah lelaki muda ini sanggup menjelajah ke luar negara untuk menyertai pameran yang berkaitan dengannya.
“Penggumpul membeli koleksi ini lebih awal kerana kelewatan boleh menyebabkan harganya melambung 2 atau 3 kali ganda. Tetapi logistik pun satu hal, jadi kena pandai-pandailah,” katanya.
“Facebook ialah rangkaian terbesar kami. Kami berhubung dengan pengumpul lain dan dari situ berjumpa di pameran, bengkel dan sebagainya,” tambahnya.
Selain itu, Ethan, ahli perniagaan pula akui terus mengubahsuai rumahnya semata-mata untuk menempatkan lebih 100 patung koleksinya.
“Saya akan cari rangkaian yang ada untuk mendapatkan patung terkini. Salah satu ialah di Shioktoys,” katanya.
Dia mula mengumpul figura patung sejak 4 atau 5 tahun lepas.
Sebelum itu dia mengumpul patung kecil, atau sederhana besar bukan daripada koleksi khas tetapi “plastic toys”.
Kumpul patung sebagai hobi, pelaburan
Di samping menjadi hobi Ethan akui ia juga satu bentuk pelaburan, sama seperti mengumpul bahan seni.
“Begitulah kami memujuk ahli keluarga supaya mereka tidak menghalang hobi ini. Kami pun terus membeli, mengumpul dan menyimpan!” katanya sambil ketawa.
Nicholas yang sudah berkahwin mempunyai seorang anak lelaki mengakui keluarganya tiada mempunyai masalah dengan hobinya itu.
“Sekurang-kurangnya mereka tahu ke mana saya belanjakan duit ini.”
Membeli secara kerap, sama ada bulanan atau apabila ada koleksi baharu, Ethan dan Nicholas berkata harga tidak pernah menjadi isu kerana minat dan keghairahan mereka terhadap produk itu lebih tinggi.
Misalnya, di Shioktoys sendiri, kebanyakan figura patung dipamerkan berharga sekitar RM7,000 hingga RM12,000.
Patung paling mahal milik Ethan ialah “Men In Black” yang berharga RM12,000 manakala bagi Nicholas, patung saiz sebenar Predator yang berharga RM15,000 ke atas.
Mereka yakin semua patung dikumpul mempunyai nilai jualan lebih tinggi, justeru melabur ke atasnya tidak boleh disifatkan sebagai pembaziran.
Namun, mereka tidak terfikir mengenai insurans sehingga soalan mengenainya diutarakan.
“Ya, mungkin selepas ini saya akan cari insurans yang sesuai untuk semua koleksi saya.
“Biasanya insurans akan meliputi harga belian dan bukan harga pasaran tetapi nampaknya ia satu cadangan yang baik,” kata Ethan.
Mempunyai lebih 100 buah patung, kedua-dua mereka selalunya tidak memilih menjual koleksi tersebut.
“Kami terpaksa jual pun kerana masalah ruang, kalau tak, saya pilih untuk menyimpannya,” ujar Nicholas.
Dari segi penjagaan patung, Ethan mengakui bukan masalah kerana hanya perlu membersihkannya daripada debu sebelum disimpan di tempat sejuk.
Oleh kerana diperbuat daripada material polystone, patung tersebut perlu dielak daripada cuaca panas, itu sahaja, kata mereka.
https://www.youtube.com/watch?v=VrhqMr468Cc&feature=youtu.be