Budak ‘sihir’ dibuang keluarga akan ke sekolah

Budak ‘sihir’ dibuang keluarga akan ke sekolah

Hope sudah sihat dan semakin berisi seperti kanak-kanak biasa.

Ingat lagi gambar kanak-kanak Nigeria bogel yang kurus kering dan lemah, sedang disuapkan air oleh seorang wanita kulit putih?

Hope-1

Menurut laporan Dailymail, kanak-kanak berusia 2 tahun itu ditinggalkan ibu bapanya yang menganggap beliau ahli sihir.

Nasib kanak-kanak yang kelaparan selama 8 bulan itu berubah selepas ditemui aktivis, Anja Ringgren Loven yang berasal dari Denmark, tetapi tinggal di Afrika pada Januari 2016.

Loven sebenarnya ialah pengasas Yayasan Pembangunan dan Bantuan Pendidikan Kanak-kanak Afrika yang ditubuhkan 3 tahun lalu bagi membantu mangsa dilabelkan ahli sihir dan dibuang keluarga sebelum dibunuh masyarakat setempat.

Hope-2

Wanita itu menamakan kanak-kanak malang itu sebagai Hope dan membawa beliau ke hospital untuk dirawat.

Hope diberikan ubat cacing dan pemindahan darah setiap hari bagi menambahkan sel darah merahnya.

Loven komited memulihkan Hope, namun menghadapi masalah kewangan dengan kos perubatan agak tinggi. Beliau kemudiannya memohon sumbangan orang ramai dan berjaya mengumpul lebih AS$1 juta dari seluruh dunia.

Kini, setahun sudah berlalu. Cuba teka bagaimana rupa Hope sekarang?

Hope-3

Hope bukan lagi kanak-kanak kurus dengan perut dipenuhi cacing seperti tahun lalu.

Beliau sudah sihat dan semakin berisi seperti kanak-kanak biasa. Ia terbukti dengan gambar Hope yang dimuat naik ke Facebook Loven.

Terima kasih kepada sumbangan penderma dan kasih sayang serta penjagaan Loven yang berjaya mengubah Hope menjadi seorang kanak-kanak ceria.

Minggu ini, Hope bakal melalui detik penting dengan menjejakkan kaki ke sekolah buat julung kalinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.