
Matanya yang kecil dan bercahaya menampakkan kesedihan. Cesur baru sahaja kehilangan tuannya, Mehmet, lelaki Turki yang meninggal dunia pada usia 79 tahunMenurut sebuah artikel dalam laman cerita haiwan The Dodo, Cesur dan Mehmet yang lumpuh itu begitu kuat kasih sayang antara mereka.
“Sewaktu berada di hospital, pada hari-hari terakhirnya, Cesur berhenti makan, dia bersedih,” kata anak Mehmet, Ali kepada The Dodo.
Selepas kematian Mehmet, Cesur dilihat kaku ketika jenazah tuannya diarak, dan enggan bergerak.
Ketika mayat Mehmet diarak ke masjid untuk acara berkabung pula, Cesur memimpin jalan dan berdiri di sisi dengan menundukkan kepalanya, seolah menghormati acara pengebumian.
Ali berkata Cesur memerhati keseluruhan proses pengebumian sehingga Mehmet ditempatkan di liang lahad.

Semua orang pulang dan menjalankan hidup seperti biasa, tetapi bukan Cesur.
“Anjing ini berlari melawat kubur tuannya setiap hari.
The Dodo memetik Ali berkata, dia perasan Cesur berlari keluar dari rumahnya setiap pagi. Ingin tahu ke mana anjing itu pergi, Ali mengekorinya.
“Rupanya Cesur melawat kubur ayah. Pekerja kubur memberitahu, perkara pertama yang dilihat setiap pagi ialah kedatangan Cesur ke kubur itu menziarahi pusara bapa,” kata Ali.

The Dodo bagaimanapun tidak pasti berapa lama Cesur akan menunaikan rutinnya mengunjungi kubur Mehmet tetapi Ali berjanji terus menyimpan dan menjaga Cesur yang digambarkan sebagai “haiwan mulia”.
Kisah Cesur disamakan dengan kisah Hachiko di Jepun. Hachiko milik seorang profesor di Universiti Tokyo menjadi sahabat setia kepada tuannya yang tidak ketinggalan menyambut beliau di Stesen Shibuya setiap hari.
Namun suatu hari pada 1925, tuannya tidak kembali pulang setelah meninggal dunia akibat pendarahan otak. Lebih 9 tahun, Hachiko terus mengunjungi stesen itu setiap hari, menunggu tuannya.
Keazaman dan kasih sayang anjing itu kepada tuannya menjadi berita dunia sehingga mendapat perhatian pengarah Hollywood.

Setahun selepas kematian Hachiko, sebuah filem Inggeris dibintangi Richard Gere dirakam, mengenang kisah sedih anjing itu dan tuannya.
Pada 11 Februari, 2015 patung Hachiko dan tuannya disatukan di tengah bandar Tokyo, menghargai dan mengiktiraf persahabatan kedua-dua mereka.