

Ya, ceruk mana sekali pun kita, pasti ada makanan dan sudah tentu, minuman.
Bercakap tentang makanan, kita ada trend baharu yang sedang menular di ibu kota dan bandar utama, jualan makanan menggunakan food truck.
FMT Ohsem berpeluang menemui seorang lelaki muda yang mengendalikan perkhidmatan menawarkan platform bagi food truck berkumpul dan menjalankan perniagaan.
Apa, menawarkan platform? Kalau saya ada food truck, saya boleh pandu ke mana sahaja lokasi pilihan dan berniaga. Bukan begitukah?
Tidak… sebenarnya kita tidak boleh berniaga sesuka hati. Mana boleh redah ikut suka, kenalah ikut peraturan.
Menjadikan hidup pemilik food truck dan pengguna seperti anda dan saya mudah, Foodii menjadi medium yang efisien.
Azizul Hakim salah seorang daripada 3 pengasas Foodii berkata idea ini datang daripada rakan niaganya yang juga pemilik food truck.
“Kita berdepan dengan isu di mana pemilik gerai jalanan sedang mengubah haluan kepada bisnes food truck. Lambat laun, kita akan berdepan pengendali food truck yang ramai menjurus kepada masalah penempatan (relocation). Mana mereka nak pergi dan bagaimana mewujudkan satu lokasi yang sihat?
“Itulah kerja Foodii,” kata Azizul.
Okay, nampaknya Foodii akan menawarkan platform kepada food truck berniaga. Jap, bukan itu sahaja ada lagi.
Tambah Azizul, Foodii mencari tempat yang sesuai untuk bisness food truck dengan kebenaran pihak premis selain mewujudkan persekitaran sihat dan mesra komuniti.
Mesra komuniti? Cuba terangkan macam mana itu?
“Kita akan tempatkan food truck, kemudian sediakan aktiviti lain seperti life band, buskers, aktiviti untuk kanak-kanak dan program musim cuti. Jadi selain pilihan makanan, tempat ini akan menjadi lokasi keluarga bersantai sambil berhibur,” kata Azizul menerangkan pelan perancangan Foodii.
Buat masa ini Foodii hanya berlokasi pusat beli-belah SACC Mall, Shah Alam dan menyenarai pendek beberapa lokasi lain seperti Ampang dan Jalan TAR di Kuala Lumpur untuk dijadikan platform jana perniagaan bagi food truck.
“Kami ada 10 food truck di SACC dan kapasiti ruang boleh mencecah 30 buah. Kami akan lakukan semua urusan dengan pihak premis. Sesiapa yang berminat berniaga di lokasi ini boleh hubungi kami, itu caranya,” ujar Azizul.
Ehem…ok… so nothing come free, apa caj yang dikenakan Foodie?
Menurut Azizul, caj yang dikenakan ialah sekitar RM30 (boleh naik hingga RM150 ikut kawasan) setiap hari dan buat masa sekarang operasi dijalankan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“Sebenarnya kami mempunyai 2 shift iaitu petang dan malam pada harga sama. Kami buka pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam dan dalam perancangan untuk beroperasi setiap hari di mana pada hujung minggu kita boleh luaskan perniagaan kepada 30 food truck,” katanya.
Apa kata peniaga food truck…
Anor Farisha, 35
Queen Coffee & Juice
“Sangat menarik, unik dan kita boleh bergerak. Saya suka konsepnya yang baharu. Berniaga ni bukan okay sentiasa. Sale ikut cuaca tapi buat masa ni lebih baik dari bekerja. Cuma pendapatannya tak tetap.”
Mohamad Hafizi Hanip, 34
The Corn
“Saya bermula masa Ramadan, berniaga guna khemah. Selepas Ramadan saya lihat kesan fenomena food truck, jadi saya ambil kesempatan. Dari situ mula, perkembangan setakat ini ok.”
Fadhlina Azizan, 35
Gerobox
“Bidang ni besar dan saya pula dari keluarga yang buat katering sejak sekian lama. Kami dapat tahu mengenai Foodii daripada iklan FB dan blog, kawan ajak beritahu dan kami cari penganjur untuk sertai rangkaian ini. Bila ada kumpulan lebih secure berbanding seorang. Bila banyak food truck ramai customer yang datang, bila sendirian susah sikitlah.”