
Teringat kisah The Terminal lakonan Tom Hanks arahan Steven Spielberg mengenai seorang lelaki yang terkandas dan terpaksa tinggal di lapangan terbang John F. Kennedy selepas negara asalnya terlibat dalam perang.Dalam filem itu watak Tom, Viktor Navorski hilang “negaranya” lalu menjadi warga tanpa negara menyebabkan dia terpaksa tinggal di lapangan terbang.
Okay, cut the story short, lagipun ini bukan prebiu filem, cerita yang ingin disampaikan ialah mengenai individu yang memilih untuk tinggal di lapangan terbang dalam kehidupan sebenar mereka.
Ya, kisah ini bukan hanya terhad dalam “reel” (lakonan) tetapi turut berlaku secara “real” (dunia sebenar).
Mungkin kita semua tidak lupa laporan baru-baru ini mengenai seorang wanita yang tinggal di Lapangan Terbang Changi, Singapura sejak 8 tahun yang lalu.
Wanita itu bukan keseorangan malah ditemani lebih 10 orang lain yang juga tinggal di lapangan terbang itu.
Menurut laporan berita, di mengambil keputusan tinggal di sana setelah dilanda masalah kewangan pada tahun 2008.
Dia mempunyai troli yang penuh dengan barangannya dan menggunakan semua kemudahan seperti makan di medan selera, bilik mandi, penghawa dingin dan Wifi percuma.
Tentulah tiada pengurusan lapangan terbang yang membenarkan hal ini berlaku. Hello, lapangan terbang umpama pintu masuk kepada pelancong dan orang penting, bukan rumah gelandangan.
Namun, masih ada kes seperti ini yang berlaku secara berleluasa bukan sahaja di Singapura tetapi seluruh dunia.
FMT Ohsem menyenarai beberapa individu terkenal pernah menjadi berita utama kerana memilih tinggal di lapangan terbang.
Heinz Muller – bekas juruterbang yang terkandas
Hmm..kisah lelaki ini… tak tahu nak cakap sama ada rasa kelakar, kasihan atau romantis. Bekas juruterbang ini memilih tinggal di lapangan terbang Campinas, Rio de Janeiro, Brazil pada 2009 selepas lawatannya ke negara itu untuk menemui wanita yang dikenalinya menerusi talian gagal. Heinz tinggal di lapangan terbang selama 13 hari, ehsan pekerja di sana sehinggalah dia akhirnya berjaya diusir keluar pihak penguatkuasa. Tak tahulah apa yang berlaku kepada Heinz yang dipercayai berasal dari Munich itu.
Anthony Delaney – dari chef kepada gelandangan Gatwick airport
Hilang pekerjaan yang menjana pendapatan AS$120,000 setahun, chef ini memilih lapangan terbang Gatwick di London sebagai rumah baharunya pada tahun 2004. Walaupun diarah beredar menggunakan notis mahkamah, ada dia kisah? Pada 2008 Anthony ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kecurian bagasi. Dia akhirnya dipenjara selama 15 bulan. Selepas itu dia dipenjara beberapa kali dan dihantar notis supaya meninggalkan lapangan terbang itu. Anthony dikatakan menghadapi pelbagai masalah termasuk tekanan sehingga menyebabkan dia tidak dapat “settle-down” dalam hidupnya.
Athanasios – keluarga lapangan terbang
Ingat lagi krisis ekonomi Greece pada 2012? Athanasios dan isterinya dan kemudian disertai anaknya yang berusia 15 tahun terkandas dan tinggal di lapangan terbang Munich, Jerman semasa mencari kehidupan baharu di negara orang. Pihak berkuasa Munich bagaimanapun tidak menghalang keluarga itu tinggal di situ sementara mereka mencari satu kehidupan baharu. Mereka mendapat ehsan daripada orang Jerman yang menggunakan lapangan terbang itu. Hmm, macam ini pun ada…
Mohammed Al Bahish – dapat layanan simpati lapangan terbang
Pelarian Palestin ini sepatutnya ke Almaty, Kazakhstan untuk berkahwin dengan ratu hatinya. Malangnya dia kehilangan semua dokumen penting status pelariannya dan selepas visanya tamat tempoh kedua-dua negara, Kazakhstan mahupun Turki enggan benarkan dia masuk. Selepas 4 kali tebang ulang-alik, dia akhirnya dibenar tinggal sementara di lapangan terbang Almaty dalam sel tahanan khas. Al Bahish tinggal 150 hari di sana sehingga Finland merasakan ia layanan yang tidak adil serta menawarkan perlindungan.
Mehran Karimi Nasseri – hero sebenar lapangan terbang
Dia umpama hero! Ya, kerana dia menjadi inspirasi untuk sebuah biografi The Terminal Man dan filem The Terminal lakonan Tom Hanks. Dia tinggal di lapangan terbang selama 18 tahun, wow! Mehran dihalau dari negaranya pada 1977 selepas satu protes dan diberikan status pelarian di Belgium dengan hak untuk berjelajah dan tinggal di Eropah. Bagaimanapun, malang sungguh nasibnya apabila kehilangan semua dokumen sewaktu dalam perjalanan ke UK dan terkandas di terminal 1 pada 1988. Ada macam-macam cerita mengenai lelaki ini termasuk menerima wang yang banyak selepas berkongsi kisahnya dengan Steven Spielberg.
Sanjay Shah – dari Kenya jadi warga British
Siapa sangka, percubaan lelaki ini memasuki UK menggunakan pasport warganegara luar negara British dihalang. Dia yang telah membatalkan kewarganegaraan Kenya bertindak memprotes dengan tinggal di lapangan terbang selama setahun lebih. Akhirnya pada 2005, dia bukan sahaja ditawarkan menjadi warganegara British malah siap lengkap dengan pasport. Hmm… Berbaloi protesnya itu!
Edward Snowden – ejen CIA Amerika yang dapat perlindungan Russia
Pernahkah anda menonton filem pengintipan mengenai agen CIA yang kemudiannya diserang balik kerana beberapa sebab? Ini versi sebenar! Ya, pasport Edward dibatalkan oleh pihak penguatkuasa Amerika selepas dia, seorang bekas kakitangan CIA dipercayai membocorkan beberapa rahsia negara. Dia kemudian tinggal di lapangan terbang Moscow selama 39 hari sehinggalah kerajaan negara itu kemudian beri perlindungan pada 2013.
Okay, ikutkan, senarai ini boleh berterusan namun FMT Ohsem hanya mahu pilih orang yang benar-benar terkenal dan layak dinamakan.
Ramai lagi yang masih dan sedang mendapatkan perlindungan dan berteduh di lapangan terbang di serata dunia. Entahlah kalau KLIA dan KLIA2 atau mana-mana lapangan terbang lain di negara ini turut menjadi “tempat mastautin”. Kalau ada tolong beritahu, FMT Ohsem nak jumpa mereka!