Siti Nurhaliza kesal gambarnya diguna sebagai pelaris pil seks

Siti Nurhaliza kesal gambarnya diguna sebagai pelaris pil seks

Awas! Tindakan undang-undang menyusul sekiranya gambar terus digunakan tanpa kebenaran.

siti-nurhaliza
fmt-ohsem-inside-article1Selepas insiden disindir kurang subur oleh seorang ahli politik dari Selangor, pasangan nombor satu negara, Datuk Khalid Mohamad Jiwa dan Datuk Siti Nurhaliza dikejutkan dalam kontroversi apabila gambar mereka digunakan untuk produk pil perangsang seks.

Aduh…tak pasal-pasal mereka menjadi ‘wajah’ pelaris jualan bagi iklan produk tersebut oleh seorang peniaga di laman sosial Instagram.

Menurut laporan akhbar Kosmo!, gambar Siti yang tidak bertudung bersama suami digunakan dalam iklan itu.

“Saya memberi amaran keras kepada peniaga terbabit supaya berhenti menggunakan nama serta gambar saya dan suami,” kata Siti.

Rentetan insiden berkenaan, pasangan tersebut kini bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menggunakan gambar mereka tanpa kebenaran.

“Kami berdua langsung tidak pernah terlibat dengan produk tersebut.

“Jika pihak peniaga tersebut tidak memadamkan gambar serta iklan yang menggunakan nama kami, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya, petik akhbar itu.

Tambah akhbar itu lagi, Siti dan suaminya diaibkan apabila didakwa, melalui iklan tersebut, menggunakan perangsang seks kerana ada masalah mati pucuk.

Produk tersebut turut dijual di luar negara dengan harga antara RM150 hingga RM200 sebotol yang mengandungi 90 biji pil.

Umum bergembira selepas berita Siti hamil pada penghujung 2015 namun kegembiraan itu tidak bertahan lama selepas beliau mengalami keguguran pada bulan kedua.

Berita itu dikongsi dalam muatnaik akaun Instagramnya.

“Ternyata Allah SWT hanya pinjamkan anugerah ini untuk seketika sahaja. Hanya sempat selama 2 bulan saya kandungkan dan saya keguguran.

“Saya redha dan jauh di sudut hati amat bersyukur kerana Allah SWT telah memberikan saya jawapan di atas setiap doa. Insya-Allah ia permulaan untuk anugerah yang seterusnya,” tulis Siti.‎

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.