

Ya, ia dikenali bahasa rojak kerana campuran bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin atau Kantonis dan Tamil, yang membuatkan ia Malaysia Truly Asia!
“Macha, kasi tapau mi goreng, telur tambah. Nanti cincai kiralah…” Nampak tak elemen 1Malaysianya?
“Come onlah…we lepak first. I help you to finish your Maths homework, sap-sap sui ma….” Ini pula Manglish yang masih menggunakan bahasa rojak, hanya boleh difahami jika anda orang Malaysia.
Oh, ya sekarang pekerja dari Bangladesh, Indonesia dan Nepal pun sudah pandai ber“Manglish”, layaklah duduk di Malaysia!
Penggunaan Manglish atau bahasa rojak ini melampaui batas bangsa dan agama, sekali gus membuktikan keunikan milik kita.
Bahasa rojak seperti itu biasanya digunakan sesama rakan dalam situasi bukan rasmi, kelakar, termasuk apabila sedang bergaduh, ya percayalah.
Sebenarnya penggunaan bahasa ini tidak salah atau seperti kata pejuang bahasa, umpama berdosa.
Cuma, perlu dielak dalam penggunaaan rasmi atau akademik. Tak payahlah nak tunjuk “cool” dengan berbahasa rojak kerana ia boleh makan diri sendiri.
Contohnya;
“Bro, I nak komplen sikit ni. I tak rasa bestlah dengan semua saman ni. Watodo… kena bayar jugakan. Ada chance rayu kasi kawtim tak?”
Bayangkan anda bercakap seperti itu kepada pegawai kerajaan, polis atau di mahkamah. Silap haribulan kena tendang keluar atau dihantar ke kelas pemulihan bahasa ataupun disumbat dalam penjara.
Terang-terang ia menunjukkan rasa tidak hormat, malah, berbunyi sangat kurang ajar dan bukannya “cool” seperti disangkakan.
Media masa sudah lama berperang mengenai pengunaan bahasa rojak/Manglish dan bahasa Melayu rasmi atau akademik, namun artikel ini bukan bertujuan menganalisis perkara itu.
FMT Ohsem cuma mahu ketengah keunikan Malaysia apabila seseorang itu boleh menggunakan 4 bahasa secara selambanya dalam satu ayat dan semua orang memahaminya… chewah..
Di bawah disenaraikan beberapa contoh perkataan dan ayat bahasa rojak/Manglish:
“Jangan eksyenlah brader. I dah chop dulu” – Jangan menunjuk sangat adik/abang, saya sudah tempah awal lagi.
“Die-die pun saya takkan buatlah. Nak mampus ke?” – Terdesak sekali mana pun saya tidak akan melakukannya. Saya tak mahu tanggung risiko.
“Boringnya kamu… macam takde life” – Kamu sangat membosankan, seperti tiada kehidupan.
“Anne, teh tarik kaw-kaw satu!” – Abang, pesan teh tarik pekat satu.
“Wei, syoklah dapat girlfriend leng loi” – Seronoknya dapat teman wanita cantik.
“Brader, kereta tu boleh gostan sikit?” – Encik, tolong undur kereta boleh?
“You sangat kiasu!” – Kamu sangat pentingkan diri sendiri
“I jalan first ma” – Saya mohon beredar dahulu
“Kantoilah macam ni!” – Kita boleh tertangkap.
“Where got..biasa only ma…” – Mana ada, saya biasa sahaja.
Dan banyak lagi contoh ayat boleh diberikan. Kalau rindu sangat, sila duduk sekejap di kedai mamak dan ikuti gelagat bahasa rojak ini.
Oh ya, jangan lupa 2 lagi perkataan baharu yang masuk senarai bahasa rojak hasil sumbangan Ayahanda Rani Kulop, iaitu kipidap dan dongibap! Hahaha…