
Kalau dah hujung tahun, pasti ada macam-macam azam tahun baharu.
Anda bagaimana? Mungkin dibiar buat tak tahu? Apalah sangat bezanya perubahan satu angka di belakang 4 digit tahun itu kan?
Ramai bersungguh membuat azam baharu namun momentumnya pudar pada pertengahan tahun dan hilang di penghujung tahun.
Misalnya, resolusi tahun ini (2016), apa dia? Oh, sudah lupa…
Baiklah, mari kita imbas semula azam tahun baharu paling popular di kalangan rakyat Malaysia.
1. Kurangkan berat badan
Ya, kurangkan beberapa kilogram atau mengecil dari saiz L kepada M atau S. Ada yang yang menampal gambar artis pilihan yang mempunyai berat badan seksi dengan harapan akan mencapai “badan impian” itu sebelum hujung tahun. Tetapi apa yang terjadi, kurang pun tidak, malah bertambah. Niat mengurangkan berat badan perlu bermula dengan diet sihat, tidak lupa senaman yang konsisten. Bukan sekadar pasang niat sahaja.
2. Berjimat cermat
Amboi, sedapnya dengar azam ini, tambahan pada masa ekonomi mencabar ini. Kita semua berhajat untuk berjimat, kumpul duit dan sebagainya. Tetapi bagaimana? Kalau kos sara hidup terus menekan, tak ada peluang berjimat apatah lagi kumpul wang. Cukup-cukup makan sahajalah!
3. Bersenam
Ini bukan berkaitan mengurangkan berat badan, tetapi bersenam untuk kekal sihat, fit dan cergas. Bagi yang terus berpegang kepada prinsip ini, tahniah. Tumbuhnya pusat kecergasan, studio yoga, kelas tari aerobik seperti cendawan selepas hujan memberi indikasi positif. Kalau anda salah seorang yang masih ikutinya, tepuk sikit bahu anda.
4. Berhenti merokok
Aduh, hampir setiap perokok yang dah berumah tangga, beranak-pinak apabila ditegur isteri akan beri alasan berhenti merokok bermula tahun baharu. Tetapi peratusan menunaikannya amat nipis. Azam ini memerlukan disiplin diri yang kuat, mungkin sokongan daripada keluarga dan rakan. Apa yang penting, berhenti merokok bukan hanya untuk kebaikan sendiri tetapi orang sekeliling. Jadi, cubalah sampai berjaya, demi keluarga, demi anak kecil di rumah yang menghisap asap rokok secara pasif.
5. Berjalan dan jelajah luar negara
Ini paling best! Niat meluaskan pengetahuan dengan berjalan ke luar negara dan menghayati budaya serta cara hidup mereka. Ia menjadi satu pilihan muda-mudi sekarang. Ramai akui boleh berbuat demikian tanpa banyak berbelanja iaitu trip berbajet. Tetapi ingat, berpautlah pada objektif asal, bukan menjelajah luar negara semata-mata untuk berselfie, ops berswafoto.
6. Berkahwin, berumah tangga
Ramai yang mahu menganjak hidup ke fasa baharu, seiring dengan tahun baharu. Yang dah ada teman, mahu berkahwin, yang dah berkahwin mahu ada anak. Yang solo pula, diharap anda pun akan jumpa Romeo dan Juliet masing-masing tahun ini!
7. Masa berkualiti dengan keluarga
Itu janji si ayah kepada anak dan isteri tetapi desakan tugas memaksa mereka melupakannya. Tak mengapa, walaupun anda tidak dapat meluangkan “banyak” masa, sekurang-kurangnya belanja masa yang terhad itu secara berkualiti. Buang jauh telefon pintar dan i-pad seketika. Mari makan bersama, berkelah atau beli-belah tanpa gangguan luar.
8. Beli hartanah, kereta, pelaburan
Ini baru azam tipikal orang Malaysia. Dengan pelbagai polisi dan program bantuan rakyat, setiap daripada kita ingin memiliki rumah sendiri, kereta sendiri atau paling tidak pun melabur demi masa depan sendiri. Ini azam “ever green” sama dengan azam kurangkan berat badan, tetapi pada fasa ekonomi semasa, kita kena terus berusaha untuk mencapainya. Selamat berjaya kepada anda.
9. Jadi diri sendiri
Serius? Azam tahun baharu untuk menjadi diri sendiri? Inilah azam anak muda yang berfikir di luar kotak. Katanya, mereka memilih untuk menjadi diri sendiri tanpa terikat dengan persepsi awam atau pengaruh masyarakat sekeliling. Tak salah menjadi diri sendiri tetapi anda adalah sebahagian komuniti dan bagaimana nak elak daripada pengaruhnya?
10. Belajar sesuatu yang baharu
Tahun baharu, belajar perkara baharu. Antara azam paling popular rakyat negara maju dan sedang membangun. Mujur kita juga menyenaraikan azam itu. Ini perkara baik, tapi kenalah buat langkah pertama. Jangan berazam sahaja! Lazimnya meneruskan pengajian, mengambil kursus pendek, belajar aktiviti lasak dan sebagainya.