
Pagi tadi terdengar perbualan mengenai pengenalan wang kertas baharu oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Apa, lagi wang kertas baharu nak diperkenalkan?
“Itu tandanya wang kita semakin merosot. Bayangkan, setiap kali wang kertas baharu diperkenalkan, nilai duit makin merudum. Sama dengan ‘meme’ dalam laman sosial. Kalau wang kertas RM50 dulu-dulu boleh beli satu troli barang, kemudian dengan wang kertas diperbaharui, jumlah barang dalam troli kurang separuh. Sehinggalah ke hari ini, RM50 muat masuk 2 minyak masak saja…” keluh seorang lelaki di sebuah restoran dekat pejabat.

Lantas, seorang lagi lelaki separa usia di meja yang sama mencelah, “Mana ada, itu semua khabar angin saja. Tak dengar berita pagi tadi, BNM dah nafi perkara itu.”
BNM menafikan dakwaan wang kertas baharu RM1, RM5, RM50 dan RM100 akan dikeluarkan pada 2017.
BNM berkata demikian sebagai reaksi kepada mesej yang tersebar menerusi Whatsapp, mengatakan wang kertas baharu akan mula diedarkan pada Januari dan mata wang lama tidak lagi bernilai.
“Terang-terang ia khabar angin kerana tidak mungkin wang kertas lama boleh jadi tidak bernilai,” tambah lelaki yang sama.
Namun, setiap kali ada khabar angin, sama ada melibatkan harga tol naik, harga bahan api meningkat, subsidi minyak dipotong, cukai penerbangan kepada pengguna dan sebagainya perkara itu menjadi kenyataan dalam masa terdekat.
Magis itu hanya berlaku di Malaysia! Dan hari ini mengenai pengenalan wang kertas baharu.
Bagaimanapun, rasanya tidak salah juga jika berlaku pengenalan mata wang baharu khususnya melibatkan wang kertas RM10 dan RM20 terbaru yang selalu mengelirukan pengguna.
Siapalah agaknya yang mencadangkan 2 warna wang kertas itu? Takkan mereka tidak sedar kedua-duanya menggunakan tona warna dan saiz yang sama sehingga boleh mengelirukan pengguna?
Lebih-lebih lagi mereka yang tidak teliti atau warga emas, atau mereka yang ada masalah penglihatan, kanak-kanak, malah dewasa sendiri pasti terkeliru apabila berada dalam keadaan terburu-buru.
Mungkin BNM kena cari pakar yang tahu serba-serbi mengenai psikologi warna kerana dalam kebanyakan masa, otak manusia lebih dipengaruhi warna berbanding tulisan, angka atau rekaan. Fakta ini disokong pelbagai kajian dan penyelidikan sains.
Carian dalam laman berita menunjukkan ramai yang menulis surat menyuarakan rasa tidak puas hati dan selalu ditipu kerana warna/saiz wang kertas. Tidak ketinggalan ada yang bergaduh untuk membuktikan wang yang diberi RM20, bukan RM10 dan sebaliknya.
Rakan-rakan di FB turut berkongsi keluhan sama, bagaimana orang tua di rumah selalu terkeliru dan pengalaman peribadi kedua-dua wang kertas itu.
Ramai juga yang mengangkat isu saiz duit 5 sen dan 10 sen selain syiling emas 20 sen dan 50 sen yang turut menggunakan saiz hampir sekali lagi, mengelirukan.
“Sekurang-kurangnya kita masih berhati-hati apabila menggunakan wang kertas, tetapi duit syiling, pengguna tidak terlalu berkira, kecuali peniaga. Dalam hal ini banyak juga berlaku kesilapan dan salah faham,” kata seorang rakan FB.
Nampaknya, “khabar angin” pengenalan wang kertas baharu tampil tepat pada masanya apabila orang ramai juga merungut dengan kekeliruan warna dan saiz wang. Namun, apa gunanya kalau wang dan rekaannya baru dan canggih tetapi nilainya masuk “longkang”.