
Sonam Kapoor, anak kepada pelakon Anil Kapoor membuat pengakuan mengejut membabitkan satu insiden peribadi dalam program televisyen pengkritik filem, Rajeev Masand.
Sonam mengakui dirinya seorang mangsa cabul dan kejadian itu berlaku ketika zaman kanak-kanaknya.
Dia berkata demikian dalam promo rancangan Bollywood Roundtable 2016 – The Actresses yang disiarkan di YouTube kelmarin, menurut portal NDTV.
“Saya tahu saya dicabul ketika masih muda dan ia sangat trauma,” kata Sonam yang kini berusia 31 tahun.
Sonam ditemu bual bersama pelakon Alia Bhatt, Anushka Sharma, Vidya Balan dan Radhika Apte membincangkan pengalaman serangan seksual ketika muda.
Dalam perbualan itu Vidya dalam reaksi kepada kisah Sonam berkata: “Ia bukan salah dia dan itu perkara paling berat yang perlu dilalui mangsa.”
Anushka pula menceritakan, ketika masih kanak-kanak, ibunya sering bertanya jika dia disentuh atau diperlakukan secara tidak betul.
“Waktu itu saya berpendapat ibu saya yang bermasalah kerana saya tidak pasti apa yang ditanya,” kata Anushka.
“Moral saya dipersoalkan,” kongsi Radhika.
Beberapa bulan lalu, satu adegan intim dalam filemnya Parched bocor di Internet.
“Kami hidup dalam gelembung. Realiti kami bukan realiti sebenar,” kata Alia.
Dua tahun lalu, pelakon Kalki Koechlin mengaku pernah menjadi mangsa dera seksual sewaktu kanak-kanak.
“Bagi saya, ia bukan topik untuk dibincangkan sehari dua, tetapi berlanjutan menjadi sebahagian daripada realiti hidup saya.
“Ramai di antara kita melaluinya dan sebahagian besar orang yang saya kenali, khususnya rakan wanita, melalui beberapa bentuk penderaan seksual. Ia lebih banyak daripada apa yang kita jangkakan dan saya rasa ia bukan sesuatu yang boleh diabaikan,” kata Kalki kepada NDTV dalam temu bual pada 2014.
Sedutan promo rancangan The Bollywood Roundtable 2016 – The Actresses adalah sebahagian persembahan yang meraikan persembahan terbaik pelakon wanita dalam filem tahun ini.
Sonam diiktiraf menerusi watak pramugari dalam filem Neerja, sementara Alia baru saja memenangi anugerah bagi filem Udta Punjab selain menerima pujian bagi lakonannya dalam filem Kapoor And Sons dan Dear Zindagi.
Anushka muncul dalam filem Sultan dan Ae Dil Hai Mushkil, manakala Vidya menerusi Kahaani 2, Radika dalam Parched dan juga Kabali bersama Rajinikanth.
https://www.youtube.com/watch?v=qmvsHTsGEyg