
Semalam, Mahkamah Agung India membuat keputusan untuk mewajibkan semua pawagam memainkan lagu kebangsaan sebelum tayangan filem.
Peraturan itu harus dikuatkuasakan dalam tempoh 10 hari lagi pengendali pawagam.
Penonton pula harus berdiri sepanjang lagu dimainkan.
Menurut Panel Mahkamah Agung, pawagam diminta memaparkan bendera pada skrin, sebagai satu cara memupuk semangat patriotisme.
Lagu kebangsaan India berjudul “Jana Gana Mana” ditulis pada 11 Disember 1911 dan dinyanyikan kali pertama pada 27 Disember 1911 di Kongres Kebangsaan India, Calcutta.
“Orang ramai harus berhenti memikirkan isu kebebasan individu dan komited dengan isu patriotisme sebenar,” kata hakim dipetik daripada media India.
Hashtag #NationalAnthem kini menjadi trending utama di Twitter India.
Difahamkan, banyak pawagam sudah memainkan lagu berkenaan sebelum peraturan itu dikuatkuasakan.
Kira-kira 13,000 pawagam beroperasi di seluruh India diuruskan rangkaian tempatan seperti INOX, PVR, SPI Cinemas, Cinepolis dan Big Cinemas.
Lagu kebangsaan dan patriotisme negara lain
Amerika Syarikat: Apabila lagu kebangsaan dinyanyikan, semua harus berdiri tegak dengan meletakkan tangan kanan di atas dada kiri (jantung).
Itali: Lagu kebangsaan tidak dinyanyikan secara meluas tetapi apabila dimainkan, rakyatnya dikehendaki berdiri dan menunjukkan penghormatan.
Thailand: Memainkan lagi kebangsaan di saluran televisyen setiap hari jam 8 pagi dan 6 petang. Pelajar harus berkumpul di depan tiang bendera tepat 8 pagi dan menyanyikan lagu kebangsaan.
Mexico: Undang-undang negara itu mewajibkan semua sekolah dan universiti menghormati bendera negara dengan mewajibkan menyanyikan lagu kebangsaan setiap Isnin. Pelajar akan diperiksa bagi memastikan mereka menyanyi.