
Mari kita periksa senarai 2016. Kalau belum memenuhinya, kita masih ada 30 hari harapan. Jika tidak, bawa ke depan (2017), peluang sentiasa ada.
Senarai periksa
Cita-cita: Anda pasti ada sasara untuk melakukan sesuatu. Sudahkah anda memenuhinya? Beli rumah, beli kereta, melanjutkan pengajian, menjelajah, berkahwin, umrah dan apa saja yang menjadi keutamaan untuk dipenuhi. Cita-cita tahun baharu elemen paling penting dan mesti dipenuhi. Jika ragu-ragu tidak perlulah disenaraikan di bawah senarai cita-cita.
Impian: Kita semua mengimpikan sesuatu, sama ada berjaya atau tidak bukan di tangan kita kerana impian melibatkan komitmen pelbagai pihak dan sokongan elemen lain. Misalnya: “Saya mengimpikan untuk mengadakan majlis perkahwinan paling gah dan meriah.”
Itu impian seorang tetapi untuk merealisasikannya kita kena ada sokongan padu ahli keluarga, kedudukan kewangan yang stabil dan sebagainya. Tetapi jika anda dapat memenuhi impian ini, maka anda sememangnya bekerja keras dan bijak memujuk semua elemen di sekeliling untuk turut menyumbang demi impian itu.
Kesihatan: “Tahun ini saya mesti kurangkan berat badan saya” berbunyi klise? Ada yang buat cara ini, “Tahun ini saya akan kurangkan pengambilan gula”, “Saya kena rekod semua diet dan senaman”, “Sertai gim”, “Joging 1km setiap hari”. Tahniah jika anda memberi keutamaan untuk menambah baik kesihatan sebagai salah satu resolusi penting tahun ini. Apakah anda sudah mencapainya?
Harta benda: Apakah nilai harta benda yang anda miliki sekarang? Walaupun tidak bercita-cita membeli atau memiliki harta benda baharu, sekurang-kurangnya ketahuilah nilainya pada 2016, jangkaan pada 2017 dan perancangan berkait dengannya. Bila mahu menambah harta dan sebagainya. Ingat, pelaburan ke atas harta seperti rumah, tanah, saham adalah tindakan yang bijak.
Kerjaya: Ramai yang mengharungi waktu sukar lebih-lebih lagi dalam krisis ekonomi semasa. Namun ia bukan alasan untuk tidak menyinar dalam kerjaya masing-masing. Pastikan sasaran itu sudah atau sedang dipenuhi. Ini termasuk kepada mereka yang mengambil cabaran memulakan perniagaan sendiri. Sejauh mana perniagaan anda berkembang pada 2016? Atau adakah anda sudah mengerakkan usaha untuk membuka perniagaan?
Pendidikan: Kepada pelajar, mereka yang masih menuntut dan memasang hajat melanjutkan pelajaran, di mana kedudukan anda dalam pendidikan pada 2016? Ramai yang berhajat buat ijazah lanjutan, kursus pendek, belajar kemahiran tertentu. Nilai semula kejayaan yang dicapai dan sasar gol baharu yang setapak ke hadapan untuk tahun akan datang. Tahniah kepada yang berjaya mencapai resolusi pendidikan anda.
Kewangan: Biasanya kita mahu mengumpul jumlah wang tertentu sebagai simpanan. Adakah anda berjaya mengumpul wang itu? Mungkin baki 30 hari ini tidak cukup untuk melengkapkan amaun itu, jadi rancang secara bijak untuk tahun depan pula.
Hutang: Ya, isu hutang dan pinjaman juga harus diambil kira dalam menutup akaun kira-kira peribadi anda hujung tahun ini. Berapa banyak hutang sudah dilangsaikan mengikut rancangan tahun ini dan apakah jumlahnya?
Keluarga: Luangkan masa bersama keluarga antara “top 3” elemen penting dalam kita merealisasikan kejayaan hubungan keluarga. Jadi bagaimana dengan keakraban sesama ahli keluarga anda? Adakah anda menepati sasaran untuk berbelanja beberapa jam setiap hari bersama keluarga pada tahun ini? Jika ya, tahniah dan kekalkan. Jika tidak, anda masih ada 30 hari lagi untuk membuat “kick start” sebagai resolusi 2017.
Cinta: Hubungan yang harus berkembang dan bertambah baik dari setahun ke setahun. Apakah yang dilakukan untuk mengukuhkan hubungan itu sepanjang tahun ini? Ingat semula, jika belum ada apa-apa yang signifikan, 30 hari lagi untuk berbuat sesuatu!