
Situasi 1
Pembantu saya di tempat kerja lama didapati hamil selepas 8 tahun berkahwin. Dia berkongsi berita baik itu dengan kami dan kemudian ke bilik bos. Bagaimanapun wajah girangnya bertukar sayu selepas keluar dari bilik bos. Ditanya kenapa, jawabnya bos tidak mahu menanggung cuti sakit, cuti bersalin dan kerenah hamilnya. Jadi, dia diminta berhenti kerja. Pujuk rayunya tidak berhasil. Bos kami juga seorang wanita. Saya hanya mampu mengasihani keadaan pembantu saya yang akhirnya terpaksa meninggalkan kerjaya demi anak.
– Vivegan, 36, akauntan, Kuala Lumpur
Situasi 2
Saya kenal seorang pengetua sebuah sekolah yang akan mengeluarkan arahan pada mesyuarat awal tahun kepada pekerja wanita berkahwin supaya tidak hamil. Jika ada guru yang hamil, maka dia akan dipulaukan. Selain itu, bermacam-macam tekanan diberikan kepada guru wanita yang bercadang atau sudah hamil. Kerap kali dalam mesyuarat, pengetua itu akan mengingatkan beliau lebih suka guru belum berkahwin dan guru janda. Beliau pernah mendapat pengiktirafan sebagai Pengetua Cemerlang. Isteri saya juga bekerja di sekolah itu dan kami baru berkahwin setahun lalu.
– Rungutan seorang suami, guru, Johor
Situasi 3
Saya menghadapi masalah kesihatan ketika melahirkan anak kedua. Saya diberi cuti sakit (MC) 3 hari sebelum dibedah, anak kedua lahir pada 1 Jun 2012. Cuti bersalin selama 2 bulan tamat pada 1 Ogos. Namun pada Julai, bos menghantar mesej meminta saya masuk kerja seminggu lebih awal dengan mengambil kira tarikh saya mula mengambil MC, selain membatalkan cuti Hari Raya. Saya fikir mungkin beliau tidak tahu saya diberi MC awal. Saya masuk pejabat seperti diarahkan dan menemui pengurusan Sumber Manusia (HR) untuk menyerahkan semua borang MC dan cuti bersalin. HR meminta saya kembali bekerja pada 1 Ogos mengikut prosedur dan apabila perkara itu dimaklumkan kepada bos, dia terus naik darah. “Saya tak kisah apa HR beritahu, saya ketua di sini dan kamu kena ikut arahan saya. Saya nak kamu bekerja mulai hari ini!” arahnya. Walaupun HR cuba menjelaskan isu tersebut, dia enggan menerimanya. Saya balik dan kembali ke pejabat pada 1 Ogos, hari sama saya menyerahkan surat peletakan jawatan. Saya tidak larat bekerja dengan seorang bos yang ego dan menyalahgunakan kuasa.
– RNIZ, 36, ibu kepada 3 anak
Situasi 4
“Saya cadangkan kamu jangan hamil lagi, beri perhatian kepada kerja,” itu kata-kata majikan Diana sebaik sahaja dia kembali bekerja selepas mengambil cuti sakit 2 minggu akibat keguguran. “Adik saya pun alami keguguran, tapi dia boleh kembali kerja dalam masa 3 hari, saya tidak faham kenapa ada orang yang ambil cuti sampai 2 minggu,” katanya kepada Diana. Walaupun ketika itu Diana masih dalam tempoh percubaan, namun dia rasa tindakan ketuanya agak tidak berperikemanusiaan, justeru dia mengambil keputusan berhenti kerja.
– Diana, 36, eksekutif, Klang
Demikian luahan hati 4 individu berbeza, termasuk lelaki yang ternyata kasihan melihat situasi menyelubungi wanita hamil apabila berdepan majikan kurang atau enggan memahami hak wanita. Kisah anda juga boleh dikaitkan dengan mereka?
Masalahnya, mereka enggan mengambil tindakan undang-undang. Ada yang akui takut berdepan ketua atau majikan, ada juga tidak mahu menjatuhkan reputasi syarikat kerana yang bersalah hanyalah bos mereka. “Saya tidak mahu nanti bila perkara ini tersebar, majikan baharu pula tidak mahu mengambil saya bekerja. Saya akan dilabel pembawa masalah,” luah seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Asmah, 30, dari Petaling Jaya.
Ternyata ini bukan masalah kecil, sebaliknya memang ada pekerja hamil yang terganggu daripada segi emosi dan mental ketika mengandung.

FMT Ohsem menghubungi aktivis wanita dan penceramah bebas, Mangleswary Subramaniam, 36, yang mengakui masalah ini kerap berlaku namun jarang dilaporkan disebabkan beberapa faktor.
“Sebaiknya, lapor insiden khususnya tindakan membuang kerja dengan bukti layanan atau kekejaman yang dilalui disebabkan kehamilan. Kalau boleh dengan kronologi rakaman (tarikh, bila, di mana, apa yang diperkatakan, jawapannya, saksi atau sesiapa yang sedia berkongsi kejadian itu).
“Jika enggan berbuat demikian, laporkan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pemecatan, memetik ‘pemecatan tidak adil’ yang diperuntukkan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
“Siasatan akan dijalankan dan syarikat itu juga mempunyai hak membuktikan sebab memecat pekerja terbabit.
“Jika pemecatan didapati tidak adil, tugas mereka boleh dikembalikan atau pampasan akan dirunding. Jika tiada penyelesaian yang dicapai, kes boleh dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan,” katanya.
Mangleswary bagaimanapun berkata, agak sukar membuktikan pemecatan disebabkan kehamilan dan bukan sebab lain.
Sehingga hari ini, Malaysia dikatakan tidak mempunyai undang-undang kesaksamaan jantina. Namun, dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) Hak Asasi Manusia Negara-negara Bersatu, pada 1995 beberapa perkara berkaitan kesaksamaan jantina khususnya bagi wanita dinyatakan dengan jelas.
“Salah satu ialah mengambil segala langkah wajar untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam bidang pekerjaan atas dasar persamaan antara lelaki dan wanita. Ia dijelaskan dalam 6 poin,” katanya.
Satu daripadanya, hak perlindungan kesihatan dan keselamatan dalam keadaan kerja, termasuk pemeliharaan fungsi pembiakan.
Malah, perkataan jantina turut dimasukkan dalam pindaan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tiada diskriminasi atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam undang-undang atau pelantikan jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran undang-undang.
“Namun isunya, ia tidak meliputi diskriminasi di sektor swasta dan terma diskriminasi adalah mengikut tafsiran mahkamah,” katanya.
Manakala Pindaan Akta Kerja 1955 pada 2012 pula melarang penamatan semasa cuti bersalin yang berhak melainkan syarikat itu ditutup.
“Apabila ia melibatkan kerja kontrak, kita kena pastikan syarat kontrak secara jelas. Perkara yang dinyatakan mengenai kehamilan dan sebagainya,” ujarnya apabila ditanya nasib pekerja kontrak wanita pula.
Kesimpulannya, Mangleswary berkata, langkah terbaik untuk pekerja yang mendapati mereka dizalimi ketika hamil ialah membuat laporan di Jabatan Tenaga Kerja (jtksm.mohr.gov.my) di bawah diskriminasi gender.