Permintaan sperma derma semakin meningkat

Permintaan sperma derma semakin meningkat

Kesedaran dan keterbukaan pasangan muda terhadap isu kemandulan antara faktor meningkatnya permintaan terhadap sperma derma.

Senior-Embryologist-Tee-Sze-Tian

Pasangan muda pada masa kini terbuka bercakap mengenai isu kemandulan dan kesukaran mereka memperoleh anak. Ini khususnya dalam kalangan mereka yang berpendidikan, mempunyai kesedaran atau berada dalam kumpulan sokongan dengan pendedahan terhadap pelbagai kaedah reproduktif.

Salah satu kaedah yang semakin dipertimbangkan oleh pasangan muda ini ialah sperma derma.

Mengupas sejauh mana “sperma derma” benar-benar menjadi buruan pasangan muda, FMT Ohsem menemui Pegawai Kanan Embriologi Pusat Kesuburan Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Tee Sze Tian untuk penerangan lanjut.

Graduan Sarjana Sains dalam kajian klinikal embrio dari Universiti Oxford itu memberitahu, kesedaran terhadap kaedah rawatan kemandulan adalah punca meningkatnya permintaan untuk sperma penderma di Malaysia.

“Sebelum ini, jika seseorang diberitahu mereka mungkin perlukan bantuan, tiada yang sanggup menerima kenyataan itu. Tetapi sekarang, mereka bersedia,” katanya.

Bank sperma

Pusat Kesuburan TMC kini menyediakan bank sperma, di mana bakal penderma boleh memilih untuk menyimpan air mani melalui kaedah pembekuan kriogenik. Melalui kaedah ini, sperma dibekukan dalam cecair nitrogen bersuhu -197 darjah Celsius.

Bank sperma lazimnya disyorkan kepada lelaki yang menjalani rawatan buah zakar atau kanser, atau pun bagi mereka yang mahu melambatkan proses memiliki anak. Pembekuan sperma ketika sihat membolehkan ia digunakan semula apabila mereka bersedia memulakan sebuah keluarga.

Selain menyimpan sperma individu untuk kegunaan sendiri, pusat itu juga menerima sperma penderma.

“Kadang-kala kami juga perlukan sampel. Jadi jika ada yang sukarela (menderma sperma), kami mengalu-alukan mereka.

“Bagaimanapun, mereka perlu melalui satu siri pemeriksaan yang ketat.”

Kata Tee, ia termasuk pemeriksaan kesihatan dan sejarah perubatan bagi memastikan tiada penyakit keturunan atau penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B dan Hepatitis C dihidapi penderma.

Sebaik melepasi ujian, sperma tersebut terbuka untuk digunakan oleh orang lain lazimnya mereka yang mempunyai kiraan sperma yang rendah atau kualiti sperma yang lemah, penyakit genetik atau kanser.

Ini membuktikan bank sperma memainkan peranan penting dalam memberi peluang kedua kepada pasangan melayari alam keibubapaan apabila punca kemandulan terletak pada lelaki. Satu pertiga daripada semua kes kemandulan dipercayai berpunca daripada lelaki.

Salah faham derma sperma

Tee menambah, apabila Pusat Kesuburan TMC dibuka kepada orang ramai pada 2000, wujud banyak salah faham mengenai pendermaan sperma.

“Mereka berpendapat sperma diderma ‘secara langsung’,” katanya berjenaka.

“Kami terpaksa membuat banyak penjelasan (untuk membetulkan keadaan). Kami memberitahu (penderma) mereka tidak perlu bertemu sesiapa, sebaliknya sampel sperma dibekukan di bank,” katanya.

Beliau juga ditanya jika benar sperma seseorang penderma boleh digunakan sehingga melahirkan 533 kanak-kanak seperti dalam filem, “Delivery Man” dan Tee menafikannya.

“Setiap bank sperma ada had tertentu. Misalnya di pusat ini, kami mengehadkan sumbangan kepada 5 keluarga.

“Ini bermakna selepas sperma itu digunakan untuk 5 keluarga berbeza, maka kami akan menutupnya. Ia menjadi tanggungjawab institut untuk mengawalnya.”

Tee juga menjelaskan kanak-kanak yang lahir daripada sperma derma, layak diberitahu identiti bapa kandung jika mereka mahu tahu.

“Kami mengikut akreditasi Australia dalam rawatan kesuburan, yang mana mengiktiraf hak kanak-kanak untuk mengetahui bapa kandungnya. Jadi, jika seseorang kanak-kanak itu mahu mendapatkan maklumat daripada kami, tiada halangan yang boleh dibuat.”

Bagaimanapun, bagi pihak penderma pula, mereka mempunyai hak untuk dirahsiakan identiti.

“Kita tidak boleh memaksa penderma mendedahkan identiti. Tetapi kami akan menghubungi dan memberitahu anak (dermaan sperma) ingin mengetahui identitinya.

“Kami hanya mahu pastikan kewujudan rangkaian, cuma tidak boleh memaksa sesiapa dalam membuat keputusan.”

Pusat itu juga juga menyediakan Kaunseling Implikasi wajib bagi kedua-dua penerima dan penderma sebelum membuat keputusan menderma atau menerima sperma, atau oocytes (telur). Ini bagi memastikan semua pihak sedar implikasi keputusan itu kelak.

Kemandulan meningkat di Malaysia

Tee juga mendedahkan masalah kemandulan semakin meningkat di negara ini kerana pelbagai faktor seperti kelewatan berkahwin, gaya hidup tidak sihat dan tuntutan kerjaya.

“Ketidaksuburan meningkat secara drastik sepanjang tahun. Dulu, kami melakukan kurang daripada 50 in-vitro fertilisations (IVF) setahun, tetapi sekarang kami melakukan 1,000 kes setahun,” jelasnya.

Pakar urologi Dr Hemanth Kumar Ramasamy juga berkongsi pendapat sama.

Katanya, gaya hidup tidak baik antara punca utama kemandulan.

“Lelaki yang bekerja dalam persekitaran panas dan mereka yang selalu menghabiskan masa di spa terdedah kepada kemandulan. Pendek kata, persekitaran panas memberi kesan negatif (kepada sperma) kerana testis perlu berada dalam (keadaan) suhu 34 dan 35 darjah Celsius.”

Oleh itu, beliau menggesa orang muda supaya mengamalkan gaya hidup sihat.

“Jauhi perkara-perkara yang membahayakan seperti merokok, minum arak, dadah dan juga sesuatu yang remeh seperti memakai seluar dalam ketat setiap hari,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.