

Sejak dulu lagi, pemimpin dunia mempunyai kepekaan terhadap cara pemakaian sama ada secara sedar atau tidak. Nama mereka kemudiannya dijulang sebagai ikon fesyen di kalangan pemimpin dunia kerana keunikan atau kelainan yang dibawa.
Di sini kami senaraikan pemimpin dunia yang menjadi ikon fesyen:
1. Fidel Castro – Bekas pemimpin Cuba ini dilihat mengenakan ‘track suit’ sejak pulih dari pembedahan pada tahun 2006. Sejak itu beliau lebih banyak memakai pakaian olahraga pelbagai jenama seperti Fila, Puma dan Nike. Beliau menampakkan sisi sporty dalam pemilihan fesyen. Beliau juga memakai ‘track’ biru dan putih jenama Fila ketika meletakkan jawatan secara rasmi sebagai setiausaha Jawatankuasa Pusat Parti Komunis.
2. Narendra Modi – Perdana Menteri India ini juga sudah menempa nama sebagai ikon fesyen dengan baju jaket kurtanya. Baru-baru ini dalam Persidangan BRICS 2016 (Brazil Russia India China South Africa Summit), Narendra Modi dan pemimpin lain yang turut serta dalam persidangan tersebut tampil memakai jaket Modi sekali gus memberi pengiktirafan kepada pakaian tersebut. Penampilan kemas dan bersahaja jaket yang dipakai di luar kurta, menjadi pilihan di kalangan rakyat marhaen termasuk mempopularkannya dengan hashtag, #ModiKurta.
3. Evo Morales – Gaya Presiden Bolivia ini pernah dilabel sebagai “Fashion of the Populist” kerana memakai jaket sejuk berjalur sebagai menghargai warisan Aymaran. Sepanyol dan Mexico mengiktiraf fesyen Morales sebagai satu “tindakan ikhlas” dan ia terus menjadi ikutan di Bolivia. Jaket sejuknya menjadi ikonik sehingga potongan “Evo Line” diperkenalkan, gaya yang sama dengan apa yang dipakai Morales. Kini, ia boleh didapati di seluruh dunia.
4. Mao Zedong – Pemimpin parti Komunis ini dahulu juga terkenal dengan fesyen jubah 4 poket sepanjang pemerintahan 30 tahunnya sehingga mendapat jolokan “sut Mao”. Walaupun jubah itu asalnya lambang perpaduan golongan pekerja ekoran penubuhan Republik Rakyat China, namun Barat mengintepretasi gaya itu dari segi fesyen. Sut yang lazim dipakai dalam warna kelabu, hijau atau biru menjadi simbol komunisme serta identiti Mao. Namun fesyen itu pudar selepas kematian Mao pada tahun 1976.
5. Perdana Menteri India yang pertama, Jawaharlal Nehru turut tersenarai sebagai ikon fesyen di kalangan pemimpin dunia. Baju, potongan kolar dan bunga ros merah pada butang baju, semuanya menjadi perhatian aktivis fesyen. Sehingga ke hari ini, masih ramai yang meniru jippa, sharwani atau kurta ala-Nehru dan menggelarkan potongan leher tersebut sebagai “Nehru neck cut”. Nehru juga dikenali dengan gaya minimalis yang turut menjadi ilham Barat seperti kumpulan The Beatles.
6. Baru-baru ini Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) tidak ketinggalan disenarai sebagai ikon fesyen selepas jaket bomber yang dipakai menutupi kemeja putihnya ketika menyampaikan ucapan turut menjadi buah mulut masyarakat. Jaket bomber Jokowi menjadi tajuk trending termasuk dengan hashtag #jaketJokowi. Netizen menyifatkannya sebagai fesyen orang muda. Ada yang bertanya harga, kerana mahu memilikinya, ada sebilangan peniaga dalam talian sudahpun memperkenalkan Jaket Jokowi dan menggunakan peluang tersebut untuk berniaga. Jaket itu dikesan dijual sekitar harga sehingga RM1,600. Jaket bomber diperkenalkan pada 1932 oleh Army Air Corps-A2 Amerika Syarikat untuk kegunaan tenteranya. Pada 1950 jaket bomber beralih fungsi sebagai jaket pengintip. Bermula 1960 hingga 1980-an, model jaket tersebut kembali popular di Eropah di sebalik identitinya sebagai simbol pemberontakan. Pada lewat 1980-an, popularitnya meningkat apabila digunakan di dalam filem-filem Hollywood.