500km dalam 10 bulan? Sahutlah cabaran ‘Virtual Run’

500km dalam 10 bulan? Sahutlah cabaran ‘Virtual Run’

Virtual Run atau larian maya semakin diminati ramai kerana bersifat fleksibel

Kredit gambar Beestorm Sports
Kredit gambar Beestorm Sports
fmt ohsem inside articleMahu menyertai acara larian tetapi enggan berlari di bawah panas terik? Atau mungkin anda bimbang dengan masalah pencemaran udara? Mungkin juga kesukaran mencari tempat letak kereta di lokasi larian. Faktor keselamatan juga perlu diambil kira. Namun jangan jadikan alasan-alasan ini sebagai penghalang anda menyertai acara larian.

Lim Seong Pek, 34, pensyarah di Universiti Selangor (UNISEL)menemui alternatif untuk berlari dalam keselesaan sendiri. Walaupun pernah berehat daripada sukan selepas kecederaan di lutut, hari ini Lim mampu mencabar dirinya untuk larian 500km.

Ya, 500km tanpa perlu berjelajah jauh atau meninggalkan pekerjaannya, tanpa perlu terikat dengan mana-mana pihak, tanpa menggangu aktiviti harian yang lain. Larian ini juga perlu dipenuhi dalam tempoh 10 bulan.

Cabaran Death Race 500km Challenge yang dianjurkan Running Race merupakan larian maya atau lebih dikenali Virtual Run di kalangan pelari.

VR-Run-2
Kredit gambar Ihsan Albert

“Selepas bangkit semula dari kecederaan, saya melakukan larian ringan. Bermula November 2015, ketika itu berat saya 98kg dan kini 77kg. Tetapi larian maya pertama saya dilakukan pada Mei 2016 iaitu Larian Maya Ramadhan anjuran syarikat sukan BeeStorm melibatkan jarak 5.5km,” kata Lim yang mempelajari tentang larian itu melalui laman sesawang syarikat tersebut.

Sejak itu, Lim telah banyak menyertai larian maya yang dianjurkan oleh syarikat pengurusan sukan tempatan. Untuk rekod, Lim menyertai 12 larian maya meliputi jarak 6km hingga 125km dan terbaru, 500km.

Apa itu larian maya?

Pengarah Urusan syarikat pengurusan sukan, Beestorm Sports, M.Suurya yang pernah menganjurkan beberapa acara sukan larian maya berkata ia bukan sesuatu yang baharu, namun pelaksanaannya masih segar di Malaysia.

bee-storm
Kredit gambar BeeStorm

“Di luar negara, ia dilakukan atas sebab kebajikan untuk mengumpul dana dan sebagainya. Kemudian berkembang atas dasar motivasi dan menggalakan sukan larian tanpa mengira di mana sahaja seseorang itu berada,” jelas Suurya.

Mekanismanya begini: peserta perlu mendaftar secara atas talian apabila larian maya dibuka. Mereka akan diberi nombor larian dan baju. Menggunakan nombor dan baju itu, pelari harus menyempurnakan jarak tertentu dalam tempoh yang diberikan, tanpa mengira lokasi atau waktu. Pelari juga perlu merakam bukti larian yang boleh dilakukan menggunakan mana-mana aplikasi larian. Sebaik memenuhi syarat dan menyempurnakan larian, pelari akan diberikan pingat.

“Di sini, banyak syarikat pengurusan sukan melakukannya atas sebab menggalakkan sukan larian. Beestorm juga berbuat sama, namun acara pertama kami diadakan untuk mengumpul dana bagi kebajikan,” katanya.

Tambahnya, ada yang memilih larian maya untuk mengumpul pingat dan baju. “Sesiapa yang berminat dengan produk kami seperti baju dan pingat, cuma perlu membayar wang pendaftaran, guna sebarang aplikasi berkaitan untuk merekod larian, hantar bukti dan kami akan menghantar produk sebaik mengesahkannya” katanya.

Larian maya pertama Beestorm ialah Larian Kebajikan Ramadhan diikuti Larian Patriot, Larian Nasi Lemak 15km dan terbaru, Larian Bollywood.

Efektif dan menjimatkan kos

Bercakap lanjut, Suurya berkata larian maya sangat efektif bagi syarikat sukan sepertinya dari segi penjimatan kos. Selain itu, ia semakin diminati kerana mengurangkan kemungkinan keciciran larian atas pelbagai sebab, termasuk kesibukan, cuaca, masalah kesihatan dan sebagainya.

Lebih 30% daripada kos acara larian sebenar dapat dikurangkan selain penggunaan tenaga kerja dan masa.

Bercakap mengenai cabaran larian maya pula ialah mereka perlu memastikan semua produk dihantar sebaik bukti diterima. Bagi Suurya, dia memilih untuk membuat penghantaran pos bagi memudahkan rekod.

“Larian maya turut menawarkan database yang lengkap untuk mana-mana acara akan datang.”

Bagi seorang lagi pelari yang ditemui FMT Ohsem, Rudy Irwan, 36, larian maya masih baharu baginya walaupun dia sudah banyak kali menyertai larian sebenar termasuk di luar negara.

VR-Run
Kredit gambar Ihsan Albert

Rudy yang sudah 3 kali mencuba larian maya merasakan ia satu amalan larian yang memberikan keselesaan kepada pelari tanpa terikat dengan satu jadual khusus.

“Anda hanya perlu berlari mengikut pilihan anda, kesesuaian masa dan lokasi sendiri. Ia sangat selesa dan fleksibel. Ia larian yang semakin trending sekarang,” kata pegawai kanan awam itu.

“Larian pertama saya ialah Cabaran Larian Maya 2nd Skin Asia di mana saya perlu lari antara 1 Januari hingga 31 Januari 2016 sejauh 10km atau minimum 1 jam sehari. Kemudian muatnaik bukti gambar aktiviti di Facebook atau Instagram syarikat itu.

“Pelari yang mendaftar akan diberikan baju-T, nombor bib serta buff headwear (pengikat kepala),” terangnya.

Larian maya juga boleh dilakukan dari dalam rumah menggunakan treadmill kerana yang penting ialah memenuhi syarat dan menghantar bukti dengan memenuhi jarak dan masa yang diberikan, tambahnya lagi

“Sangat mudah!” kata Rudy.

“Namun, dalam larian ini anda tidak terdedah kepada satu kumpulan seperti dalam pertandingan realiti. Apabila berlari dengan kumpulan yang ramai ia memberikan semangat yang berbeza. Lagipun larian maya bukan pertandingan, ia hanya larian cabaran,” ujarnya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.