Rockaway kembali selepas 3 tahun, digegarkan dengan kemunculan Scorpions

Rockaway kembali selepas 3 tahun, digegarkan dengan kemunculan Scorpions

Kumpulan rock lagenda Jerman, Scorpions gegarkan Rockaway Weekender Sabtu lepas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

scorpions
fmt ohsemSEPANG: Selepas 3 tahun, Festival Rockaway anjuran Livescape Group kembali menghangatkan dunia musik tanahair dengan persembahan kumpulan rock lagenda Jerman, Scorpions.

Festival itu juga turut disertai kumpulan Wolfmother dan The Darkness, di samping lagenda tempatan, Wings.

Acara yang bermula hujung minggu lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) juga merupakan acara penamat sempena perlumbaan Malaysia MotoGP 2016 yang merekod kehadiran 161,533 penonton.

Pada awalnya ia dirancang sebagai acara hujung minggu 2 hari, namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, penganjur terpaksa mengubah jadual menjadikannya Saturday Rockaway Weekender.

Acara bermula perlahan dengan hujan renyai-renyai di atas tanah lembap berlumpur, namun semangat dan sokongan penonton ternyata menyemarakkan persembahan kumpulan band tempatan, Muzza’s Mayhem yang membuka pentas pada hari tersebut.

Pentas Rockaway terus memuncak dengan kehadiran kumpulan Wolfmother dari Australia yang dianggotai vokalis dan pemain gitar, Andrew Stockdale, Chriss Ross dan Myles Heskett, lebih-lebih lagi selepas tampil dengan lagu popular mereka, Joker and The Thief.

Persembahan seperti dicaj semula apabila kumpulan Wings mengambil alih pentas. Selebriti dan ahli utama Wings, Awie terus mengikat peminat dengan lagu-lagunya, seperti Ingatkan Dia.

Penonton menghayati persembahan dengan menunjukkan simbol “W” menggunakan tangan bersama-sama pemetik api, tanda sokongan yang berterusan terhadap kumpulan itu.

Justin Hawkins dari kumpulan glam rock The Darkness terus menghangatkan pentas dengan membawa aura 80-an. Termasuk di dalam set persembahan The Darkness adalah lagu-lagu klasik seperti I Believe In A Thing Called Love dan One Way Ticket.

Acara mencapai kemuncak selepas Scorpions mengambil alih pentas, dan mod persembahan beralih ke visual psikedelik, lengkap dengan platform besar untuk pemain drum Mikkey Dee. Persembahan Scorpions mengimbau kenangan lama buat peminat-peminatnya dengan membawa lagu-lagu seperti Wind of Change, Rock You Like A Hurricane dan Send Me An Angel.

Acara Festival Rockaway 2016 akan diteruskan pada 19 November, dengan membawa tema “Rockaway Saga Continues”, di Taman Extreme Bukit Jalil.

Ia bakal menyaksikan barisan persembahan yang lebih besar seperti kumpulan Third Eye Blind dari Amerika Syarikat, Taking Back Sunday, dan The Get Up Kids.

Acara pada 19 November, yang secara kebetulan jatuh pada hari perhimpunan Bersih 5 akan diadakan di Kuala Lumpur, turut menyaksikan penyertaan artis Malaysia seperti Zainal Abidin, OAG, Hujan, Butterfingers, Dirgahayu, Artifak, Kyoto Protocol, dan Killeur Calculateur.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.