
Daim juga berkata beliau tidak diberikan sebarang taklimat atau penjelasan dari gabenor bank pusat itu mengenai urus niaga berkenaan.
“Disebabkan itu, saya tidak pernah berbincang dengan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai urus niaga mata wang asing yang dilaksanakan BNM,” katanya di Istana Kehakiman di sini, hari ini.
Daim merupakan saksi ke-23 dipanggil RCI itu yang bertujuan menyiasat kerugian BNM dalam perdagangan mata wang pada 1990-an, iaitu di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
RCI itu dipengerusikan Pengerusi Petronas Tan Sri Sidek Hassan dan antara lain turut dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md. Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan dan Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon.
Daim dilantik sebagai menteri kewangan pada 14 Julai 1984 dan meletak jawatan pada 15 Mac 1991, sebelum dilantik lagi selama 2 tahun pada awal 1999.
Menurut Daim, beliau tidak pernah mencampuri urusan BNM kerana tidak ia bukan bidang tugas beliau, sambil menambah bank pusat itu bebas dari segi kawalan dan operasi.
“Pada setiap bulan, gabenor BNM akan mengemukakan secara sulit mengenai kedudukan rizab bank pusat kepada saya. Saya tidak diberitahu mengenai kerugian yang dialami BNM pada 1988 hingga 1989.
“Saya juga tidak tahu bahawa BNM terlibat dengan sangat aktif dalam urus niaga mata wang asing mulai tahun 1988 serta jumlah urus niaga adalah begitu signifikan,” katanya.
Bagaimanapun, Sidek mempertikaikan kenyataan Daim yang dia tidak mengetahui sebarang urus niaga matawang asing.
Sidek berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai menteri kewangan pada ketika itu untuk mengetahui sebarang maklumat berkaitan BNM, apatah lagi jika ada perkara yang dapat menggugat kewangan negara.
Sidek turut menyatakan bagaimana media asing dan tempatan lebih mengetahui mengenai kehilangan wang akibat urus niaga matawang asing tersebut.
Daim menjelaskan beliau tidak mendapat sebarang arahan atau pemberitahuan mengetahui kehilangan wang dalam urus niaga matawang dan sudah menjadi kebiasaan untuk bank pusat bersikap bebas.
“Memang benar saya tidak tahu mengenai urus niaga berkenaan. Walaupun ini adalah perkara besar pada hari ini. Jika saya tahu pada awalnya, tidak mungkin saya tidak akan siasat.
“Saya tidak mengetahui mengenai kerugian berjumlah RM772.3 juta pada tahun 1988 dan RM2.259 bilion pada tahun 1989 yang dialami BNM akibat urus niaga matawang asing ini,” katanya.