Musa Hitam: Tubuh RCI Memali selepas PRU14 elak pancing undi

Musa Hitam: Tubuh RCI Memali selepas PRU14 elak pancing undi

Bekas timbalan perdana menteri itu yakin penangguhan penubuhan RCI Memali untuk beberapa bulan akan memberi kredibiliti lebih tinggi kepada suruhanjaya berkenaan.

Musa-Hitam-Memali
PETALING JAYA: Bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi mengelakkan ia dijadikan alat pancing undi.

“Tidak ada masalah asalkan penubuhannya adalah dengan niat betul untuk mencari fakta dan kebenaran tanpa sebarang prejudis. Perkara yang perlu diteliti ialah mengenai kesesuaian masa penubuhan dan prosiding yang dijalankan.

“Ia supaya objektif penubuhannya bukan untuk memenuhi agenda politik sempit hingga mengorbankan kebenaran dan tergelincir daripada matlamat mahu mencari kebenaran hakiki.

“Demi mengelak peristiwa Memali disalah gunakan untuk kepentingan politik dan memancing undi, adalah lebih bijak dan menepati tujuan penubuhan RCI ditangguhkan sehingga selesai PRU14,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan sedia menubuhkan RCI untuk menyiasat tragedi Memali, jika ada permintaan daripada individu, pertubuhan atau parti politik.

Zahid berkata, Musa menerusi bukunya bertajuk “Frankly Speaking” mendakwa beliau diarah menghapuskan Kampung Memali kerana terdapat unsur keganasan dan militan oleh pemimpin PAS.

Tun Dr Mahathir Mohamad ialah perdana menteri ketika peristiwa berdarah itu berlaku yang menyaksikan konfrontasi polis dengan penyokong Ibrahim Mahmud yang lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya menentang cubaan menahan guru agama itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Akibatnya, 14 penduduk kampung dan 4 anggota polis terkorban.

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa beliau berada di China untuk urusan rasmi ketika tragedi Memali berlaku dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada timbalannya ketika itu, Musa yang juga menteri dalam negeri.

Bagaimanapun, dalam autobiografinya yang diterbit pada 2014, Musa mendakwa Dr Mahathir berada dalam negara ketika itu.

Hari ini, Musa yakin semua pihak yang ingin mengetahui latar belakang dan kejadian sebenar di Kampung Memali itu akan bersetuju dengan penubuhan RCI itu selepas PRU14.

“Dengan menangguhkan penubuhan dan prosiding RCI untuk beberapa bulan akan meletakkan kredibiliti lebih tinggi kepada suruhanjaya tersebut, yang akan kelihatan bebas daripada suasana panas dalam musim politik yang bergelora menjelang PRU14.

“Hanya dengan cara pelaksanaan penubuhan, prosiding dan keanggotaan yang berkredibiliti, disertai dengan amalan telus, kebenaran akan dapat diperoleh dan negara kita akan dihormati rakyat tempatan dan dunia antarabangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.