
Ketua Umum PPP, Dr Reni Marlinawati berkata insiden itu merencatkan matlamat asal KL2017 untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara melalui sukan.
“Kerajaan Malaysia harus mengenakan hukuman tegas kerana kecuaian itu menyebabkan rakyat Indonesia tidak puas hati,” kata Reni memetik laporan Kompas.com.
Reni juga berkata, selain isu bendera terbalik, Malaysia juga menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan rakyatnya berhubung layanan terhadap tenaga kerja dari negara itu.
“Jangan sampai isu bendera terbalik ini membangkitkan kemarahan rakyat Indonesia atas berbagai tindakan yang membuatkan kami tidak puas hati,” katanya yang berharap insiden itu tidak menjejaskan prestasi atlet Indonesia meraih gelaran juara.
Sabtu lalu, bendera Indonesia dicetak terbalik di dalam buku cenderahati KL2017 di mana jalur putih berada di atas dan jalur merah di bahagian bawah menyerupai bendera Poland.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyampaikan permohonan maaf bagi pihak Malaysia selaku tuan rumah KL2017 kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan melibatkan bendera negara itu.
Ia disampaikan Khairy semasa pertemuan dengan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi.
Manakala Presiden Indonesia, Joko Widodo juga meminta semua pihak tidak memperbesar-besarkan isu itu dan berkata kesalahan itu amat dikesali namun rakyatnya diminta tidak bersikap berlebihan berhubung isu itu.
Khairy dipuji tindakan tangkas isu bendera Indonesia terbalik