PPIM gesa pematuhan penuh kod pengesahan umur akaun media sosial

PPIM gesa pematuhan penuh kod pengesahan umur akaun media sosial

Persatuan Pengguna Islam Malaysia harap pelaksanaan dasar itu dilaksanakan secara telus, praktikal dan benar-benar beri manfaat kepada masyarakat.

Children Playing Handphones
Penguatkuasaan pengesahan umur pengguna media sosial berkuat kuasa semalam.
PETALING JAYA:
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata pelaksanaan syarat pengesahan umur bagi pembukaan akaun media sosial berkuat kuasa semalam adalah langkah ke hadapan dalam memperkukuh keselamatan pengguna di ruang digital.

Justeru, PPIM menggesa penyedia platform media sosial mengambil tindakan proaktif memastikan pematuhan penuh termasuk mempercepatkan pelaksanaan sistem pengesahan umur serta memperkukuh mekanisme keselamatan pengguna.

“PPIM berpandangan pendekatan mewajibkan pengesahan identiti serta mengehadkan akses kepada pengguna bawah 16 tahun adalah langkah wajar dalam usaha mengurangkan risiko seperti penipuan dalam talian, gangguan siber dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

“Dalam konteks semasa, di mana kes jenayah siber dan manipulasi digital semakin meningkat, langkah ini dilihat sebagai usaha dasar yang lebih tersusun bagi mengimbangi antara akses teknologi dan perlindungan pengguna khususnya golongan muda,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengumumkan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), menandakan satu langkah penting ke arah mewujudkan persekitaran digital lebih selamat untuk kanak-kanak di Malaysia.

SKMM memaklumkan, CPC mewajibkan pemberi perkhidmatan media sosial berlesen untuk melaksanakan langkah keselamatan kanak-kanak dalam reka bentuk (safety by design) serta mempertingkatkan perlindungan yang bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak dalam persekitaran digital negara.

Sementara itu, PPIM melihat pengenalan CPC dan RMC sebagai perkembangan positif ke arah meningkatkan kebertanggungjawaban penyedia platform digital, termasuk dari aspek kawalan kandungan dan keselamatan sistem.

PPIM juga menekankan kepentingan keterjaminan dan keselamatan data peribadi dalam pelaksanaan itu, dan berharap ia dilaksanakan dengan standard
perlindungan tinggi.

“PPIM akan terus memantau perkara ini dari semasa ke semasa demi memastikan hak pengguna sentiasa terpelihara. PPIM juga menegaskan perlindungan pengguna memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk pendidikan, pemantauan berterusan dan kerjasama semua pihak,” katanya.

PPIM berharap, pelaksanaan dasar itu dapat dilaksanakan secara telus, praktikal serta benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.