
Dalam keputusan majoriti, Hakim Faizah Jamaludin berkata kuasa kerajaan negeri terhad kepada perkara bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kerajaan Tempatan.
Katanya, kerajaan negeri boleh mengawal selia pelesenan berdasarkan faktor berkaitan premis, termasuk keadaan bangunan, pematuhan keselamatan, sanitasi, gangguan awam, dan kesesuaian lokasi.
“Majlis perbandaran boleh menolak lesen perniagaan bagi pengusaha pertaruhan wang terkumpul sekiranya terdapat kecacatan pada kedai mereka, syarat keselamatan (yang tidak dipenuhi), isu sanitasi, atau mereka menyebabkan gangguan awam.
“Namun, keengganan (mengeluar dan memperbaharui lesen perniagaan) tersebut mencerminkan bantahan dasar terhadap pertaruhan dan loteri, dan bukannya kebimbangan mengenai bangunan atau premis yang mereka duduki,” katanya dalam alasan penghakiman mahkamah dikeluarkan minggu lalu.
Faizah turut mengambil maklum sebahagian pengusaha telah menduduki premis sama selama 38 tahun.
Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan Kedah yang memohon untuk mengekalkan semula keputusannya bagi tidak memperbaharui lesen premis perniagaan bagi pengusaha pertaruhan wang terkumpul dan loteri.
Faizah dan Hakim Lim Hock Leng mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan kerajaan Kedah berkenaan.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi memutuskan menentang, dengan menyatakan keputusan exco Kedah adalah tertakluk bidang kuasa undang-undangnya bawah Akta Kerajaan Tempatan.
Faizah turut mengambil maklum bahawa lesen dikeluarkan menteri kewangan adalah tertakluk kepada syarat persekutuan yang ketat, termasuk keperluan seperti mencetak nota pada tiket bahawa perjudian adalah dilarang bagi orang Islam.
“Justeru, rejim persekutuan meneruskan langkah atas dasar pertaruhan wang terkumpul walaupun sah di sisi undang-undang, adalah dikawal,” katanya.
Dalam menentang keputusan tersebut, Azizah berkata keputusan exco negeri tertakluk kuasanya bawah Akta Kerajaan Tempatan dan mewakili satu pilihan dasar yang sah.
Katanya, ia merupakan satu keputusan dasar dan pihak mahkamah tidak sepatutnya masuk campur.
“Keputusan itu mencerminkan keutamaan yang diberikan kepada kepentingan bersama rakyat Kedah (terhadap kesan perjudian) berbanding kepentingan mana-mana individu atau entiti tertentu,” katanya.
Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan kerajaan Kedah untuk kebenaran merayu pada 12 Ogos.