300 termasuk 12 pemimpin ajaran sesat ditahan di dewan sekolah

300 termasuk 12 pemimpin ajaran sesat ditahan di dewan sekolah

Polis berkata program itu dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Sabah.

Jemaah Ahmadiyah Qadiani
Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu Syed Lot Syed Ab Rahman berkata semua yang ditahan dibawa ke IPD Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh JHEAINS, sebelum dibebaskan dengan jaminan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seramai 300 orang, termasuk 12 pemimpin dipercayai kumpulan ajaran sesat Jemaah Ahmadiyah Qadiani ditahan di dewan sebuah sekolah di Likas, Sabah, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata operasi itu hasil aduan awam yang diterima Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) berhubung penganjuran program dari Jumaat hingga Sabtu lalu.

Menurutnya, hasil semakan mendapati program itu dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Sabah serta diwartakan pada 2007.

“Seramai 300 individu ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah.

“Program ini turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) dan ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, beberapa barangan dipercayai berkaitan ajaran itu turut dirampas, antaranya 24 helai banting memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi Jemaah Ahmadiyah Qadiani, kira-kira 200 buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran berkenaan, dokumen program dan senarai kehadiran.

Jelasnya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh JHEAINS mengikut Seksyen 52(1), 52A dan 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995, sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa mendapatkan panduan agama daripada sumber sahih dan diiktiraf, dengan merujuk pihak berkuasa agama jika mempunyai sebarang keraguan berkaitan ajaran atau fahaman yang diajar serta disebarkan.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas individu atau kumpulan yang didapati menyeleweng dari ajaran islam,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.