
Menurutnya, kepimpinan DAP berpandangan Marina “calon paling berpotensi yang mempunyai peluang kemenangan paling tinggi” untuk misi strategik parti itu yang mahu melangkah keluar daripada kawasan tradisi.
“Semua perkara ini telah dijelaskan secara terperinci kepada Marina dalam perbincangan kami,” kata Teo di Facebook.
Cadangan itu timbul dalam rundingan pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) Johor yang masih berjalan. Menurut Teo, ada kemungkinan besar DAP kali ini dapat tanding di satu kerusi bandar yang pernah dimenangi oleh PH pada 2018.
“Bagi memberikan keyakinan bahawa parti akan terus bersama beliau (Marina) tanpa mengira keputusan PRN Johor kelak, saya turut berkongsi hasrat untuk mencadangkan beliau sebagai pengerusi sebuah badan berkanun, yang saya percaya mampu menjadi medan untuk beliau terus menyumbang secara konstruktif kepada masyarakat dan negara.”
Awal hari ini, Marina mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan DUN Skudai pada PRN akan datang dan memutuskan untuk berundur daripada politik, selepas berkhidmat sebagai wakil rakyat selama lebih empat tahun.
Teo menerima pengumuman Marina dengan perasaan berat hati, dan merakamkan rasa kesal secara terbuka sekiranya perbincangan berkaitan strategi PRN Johor menimbulkan rasa kurang senang atau mengguris hati.
Menurutnya, pada 2022, kepimpinan DAP telah menjelaskan bahawa pencalonan Marina di Skudai dirancang untuk satu penggal, apabila kepimpinan parti menawarkan beliau menjadi calon di situ.
“Pelan strategik parti adalah untuk membolehkan beliau terlebih dahulu membina rekod dan reputasi sebagai seorang wakil rakyat yang berwibawa,” katanya.
“Selepas itu, parti memerlukan pemimpin muda yang berkebolehan seperti beliau untuk membantu memperluaskan khidmat bakti DAP ke kawasan-kawasan yang bukan merupakan kubu tradisi.”
Pada PRN 2022, PH menerusi Marina menang di Skudai dengan kelebihan 13,943 undi, apabila meraih 26,359 undi untuk menewaskan calon Barisan Nasional (12,416 undi) dan calon Perikatan Nasional (6,258).
Marina menyertai DAP sebagai ahli cawangan Indahpura pada 2017, dan terus menerajuinya sebagai pengerusi sehingga kini. Beliau juga pernah dilantik sebagai ahli majlis di Majlis Perbandaran Kulai pada 2018.