
Menurut SPRM dalam kenyataan hari ini, pihaknya telah menerima laporan berhubung perkara tersebut dan tindakan lanjut yang akan diambil termasuk penelitian maklumat serta dokumen berkaitan yang diterima.
Dilaporkan semalam, seorang kontraktor membuat laporan SPRM berhubung isu naik taraf stadium tersebut, membabitkan dua tender berkaitan persiapan Sukan SEA 2027 bernilai RM24 juta.
Menurut pengadu, pembida tidak diminta membuat demonstrasi secara langsung, selain tiada ujian produk atau pembentangan teknikal dijalankan.
Dakwanya, walaupun pembida dengan harga lebih rendah telah menyerahkan dokumen teknikal lengkap, kontrak tersebut dimenangi oleh pembida yang menawarkan harga lebih tinggi.
Aduan tersebut membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan wujud berat sebelah dalam proses penilaian pemberian kontrak itu.
Dalam kenyataannya hari ini, SPRM berkata, pihaknya sentiasa memandang serius sebarang dakwaan mengenai unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan kepentingan awam serta perolehan kerajaan.
“SPRM mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan bagi memastikan proses penelitian dapat dijalankan secara menyeluruh dan professional,” katanya.
Bagaimanapun, SPRM menyeru mana-mana pihak yang tampil menyalurkan maklumat terhadap sebarang isu berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa agar tidak mendedahkannya kepada mana-mana pihak.
Ini bagi mengelakkan kebocoran maklumat yang boleh menjejaskan sebarang tindakan lanjut oleh pihak suruhanjaya.