
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, tren yang tergelincir itu akan dialihkan hari ini bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan landasan berhampiran stesen Chan Sow Lin dimulakan.
Loke berkata, kelajuan tren akan dikawal apabila perkhidmatan disambung semula, manakala koc dari Ampang menghala ke Sentul Timur akan terus berhenti di Chan Sow Lin selama beberapa hari lagi bagi memudahkan kerja-kerja pembaikan.
Pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian hari ini, beliau berkata, siasatan awal menunjukkan kegelinciran tersebut ekoran kerosakan kotak suis, namun punca sebenar kegagalan sistem suis itu belum dipastikan.
“Gerabak pertama berada di landasan yang betul, tetapi gerabak di belakangnya dilencongkan ke landasan lain. Daya tarikan dari gerabak belakang menarik gerabak hadapan keluar dari landasan, menyebabkan gerabak pertama dan kedua tergelincir,” katanya.
Kesemua 25 penumpang di dalam tren telah dipindahkan dengan selamat, tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Loke berkata, kementeriannya telah menubuhkan sebuah pasukan petugas bebas bagi menentukan sama ada insiden itu berpunca daripada kesilapan manusia, kegagalan sistem, atau faktor lain.
Pasukan petugas itu diberi masa 30 hari untuk mengemukakan hasil siasatan dan laporan tersebut akan didedahkan kepada umum.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) telah memulakan siasatan sendiri berhubung insiden tersebut.
Menyifatkan kegelinciran itu sebagai insiden serius, Loke berkata, penyiasat akan meneliti log sistem, sistem isyarat, rekod penyelenggaraan, operasi pusat kawalan, serta kakitangan yang terlibat.
“Kita bernasib baik tiada sesiapa cedera. Insiden kegelinciran boleh akibatkan bencana besar,” katanya.