Bekas tokoh pengiklanan sekali lagi nafi jadi dalang ‘portal berita palsu’

Bekas tokoh pengiklanan sekali lagi nafi jadi dalang ‘portal berita palsu’

Vincent Lee sifatkan hantaran terbaru itu sengaja direka-reka untuk mengaibkannya serta jatuhkan reputasinya tanpa bukti sahih.

Bekas personaliti pengiklanan Vincent Lee nafi terlibat dalam sebarang serangan terhadap mana-mana ahli politik, pemimpin, organisasi mahupun individu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas personaliti pengiklanan dan penjenamaan Vincent Lee sekali lagi menafikan sebarang pertalian dengan laman berita sosial The Coverage, berikutan satu hantaran dalam talian terbaru mengaitkannya dengan portal itu.

Lee menyifatkan hantaran terbaru itu sebagai satu kempen untuk memburuk-burukkan namanya, menegaskan bahawa dirinya atau syarikatnya tidak pernah melancarkan serangan ke atas mana-mana ahli politik, pemimpin, organisasi mahupun individu.

Katanya, beliau sebelum ini telah pun membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung The Coverage bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat individu yang bertanggungjawab mereka-reka, menyebar dan mensensasikan kenyataan palsu berniat jahat terhadapnya.

Beliau berkata, keseluruhan insiden itu didorong niat untuk memalukannya secara terbuka, menjatuhkan reputasinya dan mewujudkan syak wasangka ke atas namanya tanpa bukti sahih.

“Tindakan menyebarkan sindiran dan dakwaan tidak berasas secara semberono adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

“Kita semua bebas berbeza pendapat dari segi politik, namun itu bukan alasan untuk menyebarkan maklumat palsu atau membuat tuduhan memfitnah orang lain.”

Lee berkata, salah sebuah syarikatnya, Idea River Run Sdn Bhd, pernah melabur RM1 juta ke dalam syarikat induk The Coverage namun ‘tidak pernah menerima sijil saham mahupun akaun beraudit’.

Menurutnya, pemiliknya menguruskan portal itu secara bebas.

Lee memaklumkan Idea River Run kemudian bertindak membuat laporan polis terhadap The Coverage dan pemiliknya pada 2018.

Pada Oktober 2020, Ahli Parlimen Kluang DAP Wong Shu Qi melabel The Coverage sebagai ‘portal berita palsu’ yang menyebarkan maklumat palsu serta cenderung menyokong MCA.

Beliau merujuk artikel mengenai veteran DAP Lim Kit Siang yang diterbitkan oleh The Coverage pada 2020, yang dikitar semula dari 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.