Pertikaian PAS-Bersatu memuncak, PN di ‘ambang perpecahan’, kata penganalisis

Pertikaian PAS-Bersatu memuncak, PN di ‘ambang perpecahan’, kata penganalisis

Seorang penganalisis berkata Bersatu, Gerakan dan MIPP akhirnya akan berpisah dengan PN jika PAS terus mengukuhkan cengkamannya dalam gabungan itu.

abdul hadi awang hamzah zainudin muhyiddin yassin
Keserasian antara PAS pimpinan Abdul Hadi Awang dan Gerakan ‘Reset’ yang dikaitkan dengan Hamzah Zainudin boleh menyebabkan Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin dipinggirkan, kata seorang penganalisis.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) di ‘ambang perpecahan’ susulan pertikaian yang semakin memuncak antara PAS dan Bersatu, menurut penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, pertikaian itu semakin serius sejak setahun lalu, dengan merujuk kepada ketegangan di Perlis dan Negeri Sembilan.

Mazlan Ali
Mazlan Ali.

“Pertikaian serius antara PAS dan Bersatu ini akan membawa kepada perpecahan secara langsung,” katanya kepada FMT.

Mazlan berkata PAS dilihat sedang menyusun semula strategi politiknya dengan memberi tumpuan kepada bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin dan Gerakan ‘Reset’ yang dikaitkan dengannya.

“Saya fikir ada kemungkinan Reset akan menggantikan Bersatu sebagai rakan utama PAS dalam PN,” katanya, sambil menambah Bersatu mungkin akan diketepikan menjelang PRU akan datang.

Minggu lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu sedang menilai semula hubungan dengan Bersatu, dengan merujuk kepada beberapa perselisihan melibatkan Negeri Sembilan, Perlis, Kedah dan Kelantan.

Bersatu kemudian menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan Hadi dan berkata urusan berkaitan gabungan sepatutnya diselesaikan melalui Majlis Tertinggi PN.

Mazlan berkata PAS kini muncul sebagai kuasa dominan dalam PN kerana jentera akar umbi dan kekuatan di Parlimen.

“PAS ialah abang besar dalam PN,” katanya.

Beliau berkata tindakan Hadi mengkritik Bersatu secara terbuka, bukannya membincangkan isu itu secara dalaman, menunjukkan PAS yakin ia mampu bertahan tanpa Bersatu.

PAS juga dilihat kurang berminat untuk mengukuhkan hubungan dengan parti komponen bukan Melayu dalam PN, termasuk Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), kata Mazlan.

“PAS lebih selesa dengan naratif Melayu-Islam kerana ia membolehkan parti itu mengekalkan asas sokongan di kawasan majoriti Melayu,” katanya.

Mazlan berkata penyelarasan antara PAS dan Hamzah boleh menyebabkan Muhyiddin Yassin dipinggirkan.

Beliau berkata Bersatu kemudian mungkin membentuk blok berasingan bersama Gerakan dan MIPP, bertanding secara sendiri, atau mencari kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

azmi hassan
Azmi Hassan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara turut melihat kritikan terbuka Hadi terhadap Bersatu sebagai perkembangan serius.

“Saya fikir kesudahan PAS adalah mereka hanya mahu menyingkirkan Bersatu,” katanya.

Azmi berkata PAS mahu membuka PN kepada parti-parti kecil Melayu-Islam, manakala Bersatu menolak keahlian baharu kerana bimbang Hamzah akan kembali melalui platform lain.

Beliau juga berkata dominasi PAS yang semakin meningkat dalam PN boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengundi dan parti komponen bukan Melayu.

“Saya fikir Gerakan dan MIPP tahu perkara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.