
Bekas menteri besar Perak selama empat penggal itu mengimbau pengalamannya menghadiri majlis berkhatan beramai-ramai untuk anak yatim dan kanak-kanak kurang berkemampuan yang dianjurkan seorang wakil rakyat bukan Islam, yang disifatkannya antara detik paling bermakna sepanjang tahun lalu.
Bagi Ramli, majlis itu mencerminkan antara keistimewaan terbaik Pulau Pinang: masyarakat berbeza latar belakang masih mampu berkumpul dan membantu antara satu sama lain.
Sebab itu, selepas setahun memegang jawatan, pesanan beliau kepada rakyat Pulau Pinang mudah sahaja: “Peliharalah keharmonian, kerana apabila ia retak, bukan mudah untuk memulihkannya.”
Dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini, Ramli menyifatkan tempoh itu sebagai penghormatan dan pengalaman berharga sambil berkata masyarakat berbilang kaum di Pulau Pinang masih mampu mempertahankan tradisi dan nilai masing-masing, tanpa mengorbankan semangat toleransi serta saling menghormati.
Beliau berkata rakyat Pulau Pinang menerima kehadirannya dengan mesra, dan perkara paling menonjol bukan sekadar kepelbagaian negeri itu, tetapi bagaimana masyarakatnya hidup secara semula jadi dalam kepelbagaian tersebut.
“Pulau Pinang ini masyarakat majmuk, tetapi tidak bercelaru,” katanya.
Bagi ramai orang luar, Pulau Pinang mungkin lebih dikenali dengan makanan, warisan dan tarikannya sebagai destinasi pelancongan, namun Ramli berkata kekuatan negeri itu jauh lebih mendalam.
Beliau berkata rakyat Pulau Pinang menghargai perkara yang dekat dengan kehidupan mereka — daripada makanan dan budaya, hinggalah kepada cara hidup — dan kelihatan mempunyai ikatan yang lebih kuat dengan negeri mereka berbanding masyarakat di banyak tempat lain.
Katanya, perkara itu dapat dilihat melalui cara mereka menjaga bangunan lama, tapak bersejarah dan pelbagai aspek warisan Pulau Pinang, yang disifatkannya sebagai “bukti hidup perjalanan yang membentuk siapa kita hari ini”.
Walaupun Pulau Pinang kekal rancak dari segi ekonomi, utuh dari segi sosial dan stabil dari segi politik, Ramli mengingatkan bahawa kekuatan itu tidak boleh dipandang mudah.
“Ada penerimaan terhadap orang lain dan ada keseimbangan. Ada sikap bertolak ansur … ini yang perlu kita pelihara,” katanya.
Ramli turut berkata pengalaman tahun pertamanya mengukuhkan lagi pandangannya bahawa peranan Yang di-Pertua Negeri tidak boleh sekadar bersifat istiadat, sebaliknya perlu dekat dengan rakyat.
“Kita tidak boleh hanya diletakkan di tempat yang tinggi, sekadar untuk menandatangani pengisytiharan,” katanya, menjelaskan mengapa beliau berusaha turun bertemu rakyat Pulau Pinang sepanjang tahun lalu.
Ramli, yang pernah berkhidmat sebagai speaker Dewan Rakyat, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kesembilan pada 1 Mei 2025.