PGA Sarawak rampas diesel bersubsidi bernilai RM1.8 juta

PGA Sarawak rampas diesel bersubsidi bernilai RM1.8 juta

Lebih 342,000 liter diesel bersubsidi dirampas di beberapa lokasi di negeri itu sejak 16 Mac hingga semalam.

PGA Sarawak rampas diesel bersubsidi bernilai RM1.8 juta tile pic 27526
Menerusi Op Tiris, PGA Briged Sarawak turut rampas pelbagai aset dan peralatan termasuk lori tangki, jentera berat dan tangki skid dengan anggaran nilai hampir RM17.5 juta. (Gambar PGA Sarawak)
PETALING JAYA:
Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas lebih 342,000 liter diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM1.8 juta di beberapa lokasi di negeri itu sejak 16 Mac hingga semalam.

Komander PGA Briged Sarawak Lim Bak Phai berkata, menerusi Op Tiris itu, pelbagai aset dan peralatan termasuk lori tangki, jentera berat dan tangki skid turut dirampas dengan anggaran nilai hampir RM17.5 juta.

“Hasil operasi itu, PGA Briged Sarawak berjaya merekodkan 58 kes dengan 69 tangkapan. Antara kejayaan utama operasi, termasuk rampasan sebuah bot tunda di Bintulu yang digunakan untuk menyimpan 20,000 liter minyak diesel tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Lim berkata, operasi turut merekodkan rampasan lebih lima tan minyak masak bersubsidi bernilai hampir RM40,000 serta lebih tujuh tan gula kasar bernilai lebih RM31,000 dengan nilai keseluruhan termasuk rampasan kenderaan hampir RM950,000.

Katanya, operasi yang dilaksanakan secara berterusan itu juga berjaya mengesan pelbagai modus operandi sindiket termasuk penyimpanan, pemindahan dan pengedaran diesel tanpa permit yang dipercayai melibatkan rangkaian penyelewengan barang kawalan di negeri itu.

Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.