
Amirudin berkata, keputusan itu dicapai susulan mesyuarat penyelarasan pada 14 Mei, melibatkan agensi persekutuan, negeri, dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kerajaan Selangor bersedia memudah cara dan menyegerakan proses urusan tanah supaya pembinaan Hospital Petaling Jaya oleh KKM dapat membawa manfaat penduduk daerah Petaling, khususnya Petaling Jaya, Subang Jaya, dan Puchong.
“Lokasi tapak yang diterima oleh KKM amat bertepatan dengan keperluan penduduk Petaling Jaya, terutamanya dari segi akses, kapasiti, kos tanah, dan jarak berdekatan dengan penduduk tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, hospital baharu itu akan dibina menggunakan konsep menegak seperti Hospital Ampang, sekali gus mengoptimumkan kos pembangunan tanpa perlu bergantung kepada kawasan tanah terlalu luas.
Menurut Amirudin, usaha mencari tapak bagi hospital awam di kawasan berkenaan digerakkan secara aktif kerajaan negeri sejak 2018 bagi menampung peningkatan penduduk di Petaling yang kini mencecah 2.3 juta, termasuk 800,000 penduduk di Petaling Jaya sahaja.
Pada masa ini, penduduk di daerah tersebut terpaksa bergantung kepada Hospital Sungai Buloh dengan 1,037 katil, Hospital Shah Alam (490), dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (946).
Mengulas lanjut, Amirudin berkata Selangor mempunyai rekod kerjasama yang erat dengan KKM dalam menyelesaikan isu tanah demi kemudahan kesihatan rakyat.
Beliau memberi contoh pembinaan Hospital Cyberjaya menempatkan 288 katil dan Hospital Tanjong Karang (150) yang siap pada 2022, serta Hospital Kapar (312) yang dijadualkan siap akhir tahun ini bagi mengurangkan kesesakan di Klang dan Shah Alam.
Katanya, satu lawatan tapak akan diadakan segera minggu ini membabitkan pegawai KKM, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dan Pejabat Daerah Petaling.