Imigresen buang 77 pegawai sejak 2022

Imigresen buang 77 pegawai sejak 2022

Ketua Pengarah Zakaria Shaaban berkata antara salah laku dikesan adalah manipulasi urusan kaunter selain subahat bekal bahan terlarang kepada tahanan di depot.

Zakaria Shaaban bernama pic 27526
Ketua Pengarah Zakaria Shaaban, berkata tahun ini sahaja 23 kes tatatertib diselesaikan dengan lapan pegawai dikenakan tindakan punitif. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 77 pegawai imigresen dibuang kerja daripada keseluruhan 994 kes tatatertib yang berjaya diselesaikan sejak 2022 hingga kini, kata Ketua Pengarah Zakaria Shaaban.

Katanya, tahun ini sahaja 23 kes tatatertib diselesaikan dengan lapan pegawai dikenakan tindakan punitif.

Beliau berkata, antara salah laku dikesan termasuk pelanggaran SOP, meluluskan urusan di luar bidang kuasa, manipulasi urusan kaunter, tidak hadir bertugas, salah guna dadah serta bersubahat membekalkan bahan terlarang kepada tahanan di depot.

“Tidak kira di peringkat mana, kita akan mengambil tindakan berdasarkan bukti,” katanya menurut Bernama, di Kajang.

Bercakap mengenai persepsi masyarakat terhadap lambakan warga asing di beberapa lokasi tumpuan, beliau berkata kehadiran kumpulan itu terutama pada cuti hujung minggu atau musim perayaan tidak semestinya membabitkan pendatang tanpa izin.

Zakaria berkata, statistik semasa menunjukkan ada lebih tiga juta warga asing memegang pas serta permit sah.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan tindakan segelintir pencipta kandungan media sosial yang sengaja merakam video lambakan warga asing demi meraih publisiti menjadi antara faktor penularan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Mengenai operasi penguatkuasaan, beliau berkata imigresen melaksanakan 5,010 operasi di seluruh negara dengan pemeriksaan terhadap 71,734 individu, termasuk warga tempatan bagi tempoh 1 Jan sehingga 25 Mei.

“Hasil pemeriksaan itu, seramai 17,313 pendatang tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan terutama tinggal lebih masa dan penyalahgunaan pas, selain penahanan 789 majikan yang menggaji atau melindungi warga asing tanpa permit sah.”

Katanya, lima warga negara yang mencatat jumlah tangkapan tertinggi ialah Indonesia seramai 5,578, diikuti Bangladesh (3,533), Myanmar (2,856), Filipina (1,990), dan Pakistan (811).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.