Versi baharu WCE App dengan trafik masa nyata, bantuan AI

Versi baharu WCE App dengan trafik masa nyata, bantuan AI

Aplikasi dinaik taraf menawarkan paparan trafik masa nyata dan fungsi navigasi pintar membantu pengguna mendapatkan laluan terbaik menggunakan WCE ke destinasi.

app wce
Antara ciri baharu ialah paparan CCTV trafik secara langsung, amaran insiden masa nyata menerusi fungsi ‘Traffic Update’, serta ‘WCE Assistant’ berasaskan AI untuk membantu pertanyaan pengguna.
PETALING JAYA:
Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) memperkenalkan versi baharu aplikasi mudah alih WCE App dengan pelbagai ciri digital dipertingkat bagi membantu pengguna merancang perjalanan lebih mudah dan lancar di sepanjang lebuh raya itu.

Aplikasi dinaik taraf itu menawarkan paparan trafik masa nyata serta fungsi navigasi pintar yang membantu pengguna mendapatkan laluan terbaik menggunakan WCE ke destinasi pilihan mereka.

Menurut WCE, aplikasi berkenaan sudah merekodkan hampir 20,000 muat turun setakat ini, sekali gus memperluaskan akses pengguna kepada maklumat perjalanan dan kemudahan lebuh raya secara digital.

Antara ciri baharu diperkenalkan ialah paparan CCTV trafik secara langsung, amaran insiden masa nyata menerusi fungsi ‘Traffic Update’, serta ‘WCE Assistant’ berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu pertanyaan pengguna.

Turut disediakan ialah ‘Route Assistant’ yang membantu pengguna mendapatkan laluan perjalanan menggunakan aplikasi navigasi, selain kalkulator kadar tol mengikut plaza masuk, keluar dan kelas kenderaan.

Pengguna juga boleh mengakses maklumat kemudahan lebuh raya termasuk lokasi stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), kawasan rehat dan rawat (R&R), plaza tol serta telefon kecemasan.

Pengarah Urusan WCE, Lyndon Alfred Felix, berkata penambahbaikan aplikasi itu sebahagian usaha berterusan syarikat memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan pengalaman pengguna lebuh raya.

“Kami mahu memastikan pengguna WCE bukan sahaja menikmati perjalanan lebih lancar dan selamat, tetapi juga mempunyai akses kepada maklumat yang tepat dan mudah setiap masa,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, aplikasi berkenaan turut membantu pengguna meneroka lokasi tarikan pelancongan, mercu tanda bersejarah, hotel dan restoran di sepanjang jajaran WCE melalui panduan arah dan navigasi terus ke destinasi pilihan.

Orang ramai boleh memuat turun atau mengemas kini aplikasi WCE App melalui Google Play Store dan Apple App Store.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.