
Hakim Nurulhuda Noraini Nor memutuskan tindakan pendakwaan mengemukakan semula pertuduhan sama terhadap Cheng Ruey Hoe, 46, pada 25 Dis tahun lalu, selepas dia diberi pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA), adalah tidak sah di sisi undang-undang.
“Kes ini dikembalikan ke Mahkamah Sesyen bagi membolehkan semua keterangan dikemukakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan pertama dinilai, seperti dikehendaki Seksyen 173(c) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam penghakiman 22 muka surat.
Nurulhuda berkata pendakwa raya tidak mempunyai hak mutlak untuk mengemukakan pertuduhan baharu, dan mahkamah tidak boleh mengetepikan keterangan saksi pendakwaan terdahulu seolah-olah tiada saksi pernah dipanggil.
Katanya, Mahkamah Sesyen juga perlu menentukan sama ada pertuduhan pertama terhadap Cheng tidak berasas atau pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Cheng didakwa atas pertuduhan memiliki dadah pada 2023 dan kekal dalam tahanan kerana kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama, tidak boleh dijamin.
Dia dituduh memiliki 521.9g kokain di sebuah hotel di ibu negara pada 9 Sept 2023.
Beberapa kali tangguh
Mahkamah Sesyen sebelum ini memberikan DNAA kepada Cheng selepas pendakwaan tidak bersedia meneruskan perbicaraan pada tarikh ditetapkan hakim bicara, iaitu dari 18 hingga 22 Ogos tahun lalu.
Prosiding hari pertama ditangguhkan selepas jurugambar polis berdepan masalah berkaitan cakera padat manakala pada hari kedua dan ketiga, pendakwaan memanggil pegawai yang mengetuai serbuan serta ahli kimia untuk memberi keterangan.
Pada hari keempat, perbicaraan ditangguhkan selepas seorang saksi dijangkiti cacar air, manakala pada hari kelima, pegawai yang menangkap Cheng memberi keterangan.
Kes kemudian ditetapkan semula pada 16 dan 17 Okt 2025, dengan hakim bicara mengarahkan pendakwaan menutup kesnya.
Bagaimanapun, pada 16 Okt, mahkamah dimaklumkan timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes itu bercuti sakit.
Mahkamah kemudian mengarahkan sijil cuti sakit difailkan dan menetapkan 23 serta 24 Dis untuk perbicaraan disambung, selain menegaskan tiada lagi penangguhan akan dibenarkan.
Pada 23 Dis, seorang lagi timbalan pendakwa raya yang hadir bagi pihak pegawai pengendali memaklumkan mahkamah bahawa rakannya bercuti kecemasan. Mahkamah ketika itu mengambil maklum sijil cuti sakit masih belum dikemukakan.
Pada peringkat itu, hakim bicara memberikan DNAA kepada Cheng selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Namun, Cheng didakwa semula di Mahkamah Sesyen lain atas kesalahan sama, menyebabkan beliau memfailkan usul di Mahkamah Tinggi atas alasan pendakwaan menyalahgunakan proses mahkamah.
Peguam Gan Hsien Yang, Raqib Osman dan Anastacia Ezral mewakili Cheng, manakala timbalan pendakwa raya Haslina Ismail dan Noor Syafina Radzuan mewakili pendakwaan.