Bekas KM Melaka dakwa 200,000 ahli Bersatu sokong Reset

Bekas KM Melaka dakwa 200,000 ahli Bersatu sokong Reset

Rahim Thamby Chik tepis dakwaan tindakan keluar Bersatu itu atas hasutan bekas timbalan presiden Hamzah Zainudin.

hamzah zainudin
Hamzah Zainudin melancarkan ‘Reset’ pada 14 Feb lalu, sehari selepas dipecat Bersatu.
PETALING JAYA:
Bekas ketua menteri Melaka Abdul Rahim Thamby Chik mendakwa lebih 200,000 ahli Bersatu sudah dan bakal meninggalkan parti itu untuk menyertai gerakan Reset yang nama rasminya akan diumumkan tidak lama lagi.

Rahim yang juga bekas ketua Bersatu Melaka mendakwa penghijrahan itu berlaku secara semula jadi kerana ahli semakin kecewa dengan budaya dalam parti, bukan kerana dihasut mana-mana pemimpin termasuk bekas timbalan presiden Hamzah Zainudin.

“Jadi bukanlah Hamzah yang menghasut untuk memecahkan Bersatu.

“Ini berlaku kerana apa yang terjadi dan menjadi amali dalam parti sendiri itulah yang menyebabkan penghijrahan beramai-ramai dari parti Bersatu,” katanya di Facebook.

Rahim Thamby Chik.
Rahim Thamby Chik.

Hamzah yang dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu susulan krisis kepimpinan parti diketuai Muhyiddin Yassin itu, melancarkan gerakan Reset sehari kemudian.

Ahli Parlimen Larut itu dilaporkan akan mengetuai sebuah parti baharu.

Selain Hamzah, antara wakil rakyat dan pimpina dipecat adalah Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) dan Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).

Bekas naib presiden Ronald Kiandee dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsuddin antara pemimpin digantung keahlian.

Mengulas lanjut, Rahim berkata Bersatu kini tidak lagi mampu bergerak jauh kerana dibelenggu budaya politik negatif dan merosakkan.

Rahim turut mempertahankan sokongannya terhadap Reset, sambil berkata ia bukan gerakan untuk memecahkan Bersatu, sebaliknya lahir daripada kekecewaan ahli terhadap kepincangan dalam parti sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.