
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Izani Husin, berkata masalah bekalan air di negeri itu antara isu terbesar yang diberi perhatian oleh kerajaan negeri, dengan kawasan seperti Tumpat dan Pasir Mas masih berdepan gangguan bekalan air.
“Setakat ini, Jeli dan Gua Musang dalam keadaan baik. Secara keseluruhannya, sumber air kita tidak mencukupi untuk disalurkan kepada rakyat.
“Sebab itu, kadang-kadang kita terpaksa mengawal penyaluran air mengikut keperluan semasa,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di Kota Bharu selepas taklimat status semasa bekalan air Kelantan.
Beliau berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan 17 projek LRA baharu yang dirancang sejak 2023 bagi meningkatkan kapasiti bekalan air di seluruh Kelantan.
Apabila semua projek itu siap menjelang 2030, jelasnya, semua 60 LRA mampu menghasilkan 884 juta liter sehari.
“Insya-Allah, menjelang 2030, kita jangka jumlah air lebih mencukupi dan isu air dapat dikurangkan dengan banyak, walaupun mungkin tidak selesai sepenuhnya.”