
Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim, berkata ia bukan perkara luar biasa kerana parti sudah melalui pelbagai episod politik sejak penubuhannya.
Katanya, PKR tetap kekal kukuh malah terus menerima pertambahan ahli dari semasa ke semasa.
“Goyah? Tak ada pun, tak goyah pun. Bahkan kita terus kekal kukuh. Ini sebahagian daripada proses demokrasi.

“PKR telah melalui banyak episod dan juga siri-siri di mana kita lihat ada pimpinan-pimpinan yang meninggalkan parti atas alasan dan hujah masing-masing.
“Tapi akhirnya yang membuat penilaian ialah rakyat di luar sana,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, menurut Sinar Harian.
Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin PKR yang dilaporkan meninggalkan parti sehingga menimbulkan tanggapan konon ia semakin lemah.
Rafizi dan Nik Nazmi keluar PKR pada 18 Mei lalu serta mengosongkan kerusi Pandan dan Setiawangsa. Mereka kini mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Sementara itu, Kamil berkata PKR pernah berdepan cabaran lebih besar termasuk ketika tercetusnya ‘Langkah Sheraton’ pada 2020.
Katanya, ketika itu ramai menjangka PKR akan lumpuh sepenuhnya, namun tanggapan tersebut meleset selepas ia berjaya membentuk kerajaan pada PRU15.
Mengulas dakwaan tindakan melibatkan pimpinan tertentu termasuk bekas timbalan presiden PKR itu memberi kesan kepada parti, Kamil menegaskan perkara tersebut tidak memberi impak signifikan kepada Pemuda mahupun parti secara keseluruhan.
“Tak ada kesan apa, biasalah macam itu. Tidak ada kesan yang signifikan. Pemuda masih terus kekal utuh dan kukuh. Bahkan kita menyaksikan dari semasa ke semasa peningkatan dan pertambahan anggota yang menyertai PKR itu kian meningkat,” katanya.